
DENGAN sekali lafaz, aktres Lutfya Sheikh Omar Sheikh Abdullah, 31, selamat diijabkabulkan dengan suri hatinya, Muhammad Hafiz Che Baharum di Laman Cinta Nirwana, Taman Tasik Ampang Hilir, Kuala Lumpur, hari ini.
Pasangan ini telah dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan Sheikh Omar Sheikh Abdullah bersaksikan Penolong Pendaftar Perkahwinan dan Rujuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ustaz Hazman Hashim dengan mas kahwin berjumlah RM2,000 tepat jam 8.32 malam tadi.
Majlis pernikahan tersebut menyaksikan pihak perempuan menerima tujuh dulang hantaran daripada Hafiz manakala wang hantaran pula dirahsiakan. Pihak lelaki pula menerima sembilan dulang hantaran.
Hadir sama, ahli keluarga kedua-dua mempelai serta sahabat handai. Sementelah itu, majlis yang dilangsungkan secara sederhana turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian oleh Amira Othman dan Min Yasmin.
Difahamkan, majlis resepsi berlangsung pada malam ini di lokasi yang sama.