
TEMPOH perkenalan selama dua tahun diakhiri dengan ikatan perkahwinan bagi pelakon dan penyanyi, Lufya Omar atau nama sebenarnya, Lutfya Sheikh Omar dengan pasangannya, Che Muhammad Hafiz Che Baharom.
Disatukan pada tanggal 26 November lalu, ia menjadi tarikh bahagia buat pasangan sama cantik sama padan ini pada majlis diadakan sederhana, namun meriah dengan kehadiran ahli keluarga, sanak-saudara, sahabat handai dan juga kenalan kedua-dua belah pihak.
Lufya yang merupakan bintang kelahiran Akademi Fantasia musim keenam sebelum ini mengikat tali pertunangan Julai lalu.
Kedua-dua mempelai ini diijab kabul dengan hanya sekali lafaz selepas waktu Isyak oleh bapa pengantin perempuan, Sheikh Omar Abdullah, bersaksikan Penolong Pendaftar Perkahwinan dan Rujuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Hazman Hashim dengan mas kahwin sebanyak RM2,000.
Lufya menerima tujuh dulang hantaran dan merahsiakan jumlah wang hantaran. Sementara itu, pihak lelaki menerima sembilan dulang hantaran.
Majlis resepsi sebelah perempuan diadakan di lokasi dan hari yang sama. Manakala pihak menyambut menantu pula akan dilangsungkan pada Januari 2017 bertempat di Kuantan, Pahang.
Dalam pada itu, majlis pernikahan diadakan di Laman Cinta Nirvana, Ampang ini dihadiri lebih 300 tetamu terdiri daripada kedua-dua belah pihak keluarga pengantin perempuan dan lelaki, rakan terdekat serta rakan artis antaranya seperti, Amira Othman, Min Yasmin, Heliza Helmi, Yatt Hamzah dan ramai lagi.
Lufya yang ditemui bersyukur dan gembira kerana segala persiapan yang dibuat sebelum ini dapat dibuat dengan begitu baik.
Sebelum ini Che Hafiz pernah menyatakan hasrat tidak sabar untuk bergelar suami kepada heroin drama Umairah dan dalam masa sama berserah kepada rezeki jika cepat status suami bertukar kepada bapa.
“Saya berserah kepada yang Maha Esa. Insya-ALLAH, rezeki sama ada cepat atau lambat, saya terima saja,” katanya ringkas sambil tersenyum.
Ditanya mengenai destinasi bulan madu, pasangan ini akan mengerjakan umrah pada awal tahun depan selepas resepsi kedua dilaksanakan.
“Kami berdua sepakat untuk berbulan dengan mengerjakan umrah pada tahun depan, itupun selepas urusan resepsi menyambut tetamu di Kuantan, Pahang, selesai.
“Buat masa ini destinasi berbulan madu memang itu sahaja yang dapat difikirkan, kami dahulukan perkara yang baik. Berkenaan destinasi lain akan difikirkan semula sebab kena lihat juga jadual kerja masing-masing,” ujar Lufya.
Perancangan selepas perkahwinan
Menurut Che Hafiz, dia tidak pernah mencuba untuk membataskan kerjaya isterinya sebagai anak seni, malah lebih menyokong minat Lufya.
“Sebenarnya saya sangat memahami minatnya yang mendalam dalam karier seni. Di samping itu, saya tahu dia memang pandai jaga diri dan mengetahui batas apabila sudah menjadi seorang isteri.
"Saya mendoakan agar dia lebih sukses dan diberikan banyak peluang dalam bidang karier yang diminatinya,” ujarnya tersenyum.
Begitu juga bagi heroin drama Umairah menerusi TV3, ini yang mengakui sejak di awal perkenalan sehinggalah bergelar tunang sudah biasa dengan jadual suaminya yang bertugas sebagai doktor.
“Untuk masa depan bersama, saya akan patuh apa yang suami mahukan. Dalam pada itu kami pastinya akan berbincang terlebih dulu sebelum membuat sesuatu keputusan,” tutur Lufya tampak berseri mengenakan busana pengantin ala Arab kontemporari.