Kalimah penerus cinta Amy Mastura


Amy mengharapkan kemunculan single baharunya mendapat sambutan daripada peminat.

KEMUNCULANNYA menerusi kaca televisyen tidak serancak dahulu jika dibandingkan dengan sekarang. Meskipun begitu, kerjaya seni penghibur bernama Amy Mastura masih berjalan lancar seperti biasa.

Demi kelestarian dan terus relevan di hati peminat, penyanyi berusia 45 itu juga sedar dia harus muncul dengan produk baharu. Bukan jualan tudung atau minyak wangi, Amy kini memilih untuk tampil dengan single baharu bertajuk Kalimah.

Dihasilkan sepenuhnya oleh Ardiv Jauhari, Kalimah turut mendapat sambutan positif dalam kalangan peminat setelah video klip lagu tersebut dimuat naik ke laman YouTube.

Sejak dimuat naik pada 9 September lalu, Kalimah telah mendapat lebih 54,000 tontonan, sekali gus menunjukkan penyanyi kelahiran Perak itu masih mempunyai aura tersendiri.

Bertemu Amy baru-baru ini, sengaja persoalan mengenai tajuk single tersebut menjadi pendahulu topik perbincangan. Amy tidak menafikan judul tersebut ada kaitan dengan lirik berunsur ketuhanan.

Melemparkan senyuman sebelum memberi penjelasan secara terperinci Amy mengaku mula beralih arah untuk menyampaikan lagu berbentuk ketuhanan.

“Tidak dinafikan tajuk single tersebut kedengaran seperti lagu ketuhanan dan ada yang mempersoalkan sama ada saya telah beralih arah ke corak muzik berbeza,” ujar Amy sambil tersenyum.

Lagu berentak balada tersebut bercerita tentang permasalahan sesama manusia dan hubungan dengan Pencipta.

Amy turut ditebak dengan persoalan mengenai penglibatannya dalam bidang lakonan.

Kali terakhir dia muncul di depan khalayak saat membintangi teater Zombie La La yang berlangsung pada 13 Februari hingga 21 Februari lalu.

Secara tidak langsung menimbulkan persoalan sama ada penyanyi kecil molek itu mula berhasrat untuk meninggalkan bidang lakonan.

Jauh sekali berhasrat untuk meninggalkan bidang lakonan, Amy kini lebih selektif dalam soal pemilihan watak dan naskhah yang ingin dilakonkan.

“Tidak berniat untuk meninggalkan dunia lakonan tetapi sekiranya mendapat tawaran yang bersesuaian, saya akan terima kerana ia merupakan suatu kepuasan saya sebagai anak seni,” ujar Amy bersungguh-sungguh.

Sejak dahulu, kerjaya seninya itu mendapat sokongan penuh suami, Alvin Tham Suffian serta dua cahaya matanya Adriana, 15, dan Adalia, 11.

Ruang privasi

Bergelar selebriti mahupun individu yang dikenali, pastinya ruang media sosial adalah medium buat mereka berkongsi pelbagai aktiviti kepada pengikut mengikut masing-masing.

Meskipun ia dilihat sebagai trend masa kini, Amy bagaimanapun tidak menjadikan media sosial sebagai medan berkongsi segala perkara dengan peminat.

Amy sangat prihatin terutama sebelum mengemas kini akaun media sosial agar tidak mengguris perasaan ahli keluarganya.

“Penting buat saya menjaga hak privasi keluarga. Kadangkala saya ada meminta mereka bergambar bersama, namun sebelum memuat naik ke laman sosial, saya akan pastikan anak-anak mengetahui perkara tersebut,” jelas Amy yang hampir 23 tahun bergelumang dalam industri hiburan.

Post a Comment

Previous Post Next Post