Pusat beli-belah Pavilion adalah antara lokasi di ibu kota yang menjadi tumpuan selebriti tanah air. Baru-baru ini, peminat Papa sempat merakamkan foto pelakon popular Hisyam Hamid di butik terkenal Lacoste.
Meskipun menyedari kehadirannya bakal menjadi tumpuan orang ramai, Hisyam dilihat selesa membeli-belah tanpa perlu menutup wajahnya seperti kebanyakan pelakon lain yang gemar menyamar dan bercermin mata hitam ketika di tempat awam.
Malah sepanjang sumber Papa mengekorinya, pelakon yang popular menerusi drama Memori Cinta Suraya itu juga tidak kisah apabila ada peminat yang curi-curi mengambil gambarnya dari jauh.
Tidak kurang peminat yang ingin mengambil gambar kenangan. Sepanjang teman Papa bercerita mengenai pelakon itu, apa yang dapat Papa simpulkan, Hisyam antara selebriti yang mesra melayan peminat meskipun waktu itu masa peribadinya.
Usai drama Abang Bomba I Love You berjaya melonjakkan namanya dalam dunia seni lakonan, kini pelakon kelahiran Singapura itu sibuk menjalani penggambaran drama bersiri berjudul Sayang Papa Saya Tak bersama aktres Emma Maembong.