Gmie Tidak letak harapan terlalu tinggi


Rezeki buat penyanyi dan peserta Gegar Vaganza 3 (GV3), Gmie Screen apabila namanya diserap masuk semula bagi meneruskan cabaran selepas diumumkan tersingkir bersama Zur Eda.

Gmie atau nama sebenarnya Hajmi Ibrahim meluahkan rasa syukur apabila diumumkan sebagai penerima imuniti oleh penaja platinum GV3, Datuk Seri Vida selepas berbincang dengan barisan juri yang terdiri daripada Datuk Ramli MS, Datuk Khatijah Ibrahim serta juri jemputan Mamat Khalid.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana masih diberi peluang meneruskan perjalanan dalam GV3. Saya tidak pernah meletakkan harapan yang terlalu tinggi pada setiap minggu memandangkan kekuatan yang ada pada peserta lain.

“Kalau dibandingkan dengan peserta lain, siapalah saya. Jadi, saya cuba buat apa yang termampu dan saya perlukan bimbingan juri,” katanya.

Gmie yang sudah hampir 30 tahun berjuang sebagai anak seni menganggap program itu landasan terbaik untuknya mencuba nasib bagi memperkenalkan semula namanya selain mencabar kebolehan diri.

“GV bukan saja menjadi landasan terbaik artis lama mencuba nasib sekali lagi tetapi turut menjadi ruang mencabar kebolehan setiap penyanyi.

“Kalau ikutkan, lagu yang saya terima bukanlah ‘forte’ saya.

“Saya anggap ia cabaran walaupun tidak mudah untuk menghadapinya,” kata Gmie.

Gmie yang mempersembahkan lagu Titian Perjalanan nyanyian asal XPDC pada konsert minggu keenam GV3 mengucapkan terima kasih kepada Datuk Ramli MS yang sering berkongsi ilmu menerusi kritikan dan komen membina.

“Walaupun nampak garang, Tok Ram (Ramli) sebenarnya banyak membantu, membimbing dan berkongsi ilmu. Dalam setiap kritikannya, ada ilmu yang sangat berguna,” katanya.

Walaupun sentiasa menerima komen positif dan prestasinya dilihat semakin meningkat setiap minggu, Gimie tidak meletakkan dirinya di tahap selesa.

“Pujian tidak melekakan saya kerana ia kadangkala menjadi beban dan tekanan apabila perlu memberikan persembahan terbaik setiap minggu,” katanya.

Zur Eda yang tampil mempersembahkan lagu Ah Rindu Lagi nyanyian asal ratu dangdut Malaysia, Amelina terpaksa akur dengan keputusan juri dan tersingkir pada peringkat suku akhir itu.

“Walaupun tersingkir malam ini, saya bersyukur kerana tidak menjangkakan akan berjaya bertahan sehingga ke peringkat suku akhir,” katanya.

Zur Eda mengakui dirinya gugup ketika membuat persembahan Ahad lalu.

“Mungkin disebabkan perjalanan yang agak lama dalam program ini, tak dinafikan saya rasa penat. Bukan tertekan tetapi biasalah pada usia 51 tahun kurdrat saya mungkin kurang berbanding peserta lain. Mereka sudah saya anggap sebagai anak,” katanya.

Bagaimanapun, tentunya pengikut setia program realiti itu tidak sabar menantikan persembahan tujuh peserta yang berjaya mara ke peringkat separuh akhir, Ahad depan.

Semua peserta bakal menyampaikan satu lagu duet bersama artis popular tanah air dan satu lagu solo bertemakan Lagu Pilihan Media.

Post a Comment

Previous Post Next Post