Aktres terkenal, Nur Fazura Sharifuddin, menafikan ura-ura beliau ingin menarik diri daripada bertanding pada peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 31 yang akan berlangsung malam esok.
Pelakon berusia 33 tahun itu juga nyata terkejut sebaik saja soalan itu diajukan kepadanya, sebentar tadi.
"Cerita itu tidak benar sama sekali dan ia adalah satu fitnah.
"Ramai peminat yang mahu melihat saya dan Estranged sama-sama masuk ke peringkat separuh akhir dan kalau boleh, hingga ke pentas Anugerah Juara Lagu.
Atas alasan itu juga peminat mengundi kami.
"Jadi, kenapa pula saya hendak menarik diri? Apakah ada orang lain hendak menggantikan tempat saya?" kata bintang Langit Cinta itu ketika ditemui selepas acara pertunjukan fesyen Fazura x Adrianna Yariqa di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE, di sini.
Sebelum ini, kedengaran desas-desus mengatakan Fazura antara artis yang bakal menarik diri daripada peringkat separuh akhir Muzik Muzik 31.
Begitupun, apabila sidang media mengumumkan lagu yang layak ke peringkat berkenaan diadakan, beberapa hari lalu, namanya tetap tersenarai bersama Estranged dalam pertandingan itu.
Sebagai penyanyi, kata Fazura, menjadi tanggungjawabnya untuk mempersembahkan lagu Hancur Aku sebaik mungkin dan apabila ia berjaya melangkah hingga ke peringkat separuh akhir, sudah tentu beliau teruja.
"Ketika mula-mula memasuki program Muzik-Muzik, saya hanya terfikir untuk menyanyi.
Saat itu, saya tidaklah menaruh harapan terlalu tinggi.
Maknanya, kalau berjaya ke peringkat seterusnya, ada rezeki untuk kami.
"Apabila pihak label memberitahu lagu ini berjaya ke peringkat separuh akhir, kami jadi teruja.
Latihan juga sudah dibuat beberapa kali dan malam ini pula kami ada sesi 'soundcheck'.
"Saya sedar, persaingan dalam pertandingan ini memang sengit dan saya pula bukanlah seorang penyanyi hebat.
Apapun, saya akan cuba untuk memberikan persembahan yang terbaik malam esok," ujar pemegang trofi Aktres Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-27 ini.
Lagu nyanyiannya bersama Estranged, hasil ciptaan anggota kumpulan itu sendiri itu akan bertanding bersama-sama 17 karya lain, esok, bertempat di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.
Ia akan disiarkan secara langsung menerusi TV3, bermula jam 9 malam.