Faradhiya Cerewet soal penampilan


Kalau dilihat dari aspek gaya dan penampilan, penyanyi Faradhiya Mohd Amin, 32, cukup teliti orangnya. Hingga kini Faradhiya yang mula dikenali melalui lagu Bertakhta Di Hati itu belum pernah dikecam akibat menggayakan pakaian kurang sesuai.

Berkongsi mengenai tip penampilannya, Faradhiya berkata, dia seorang yang bersikap begitu memilih.

Tanpa berselindung, Faradhiya berkata, dia sangat cerewet dalam membuat pilihan untuk sesuatu pakaian yang akan digayakan.

“Kalau mengenai gaya dan penampilan saya memang cerewet dan sangat memilih. Oleh itu sehingga kini sebenarnya tak ramai pereka fesyen yang bekerjasama dengan saya,” katanya.

Menurutnya, dari dulu sampai sekarang dia selesa bekerjasama dengan pereka yang sudah terbiasa saja.

Bagi Faradhiya, bekerjasama dengan orang yang sudah biasa lebih mudah kerana mereka tahu cita rasanya.

“Sebagai selebriti yang menjadi perhatian masyarakat, saya akui hal membabitkan gaya dan penampilan tak boleh diambil mudah.

“Begitu juga dengan solekan dan dandanan juru mekap. Setakat ini, saya akan dimekapkan juru solek sama,” katanya.

Anak bongsu daripada dua beradik ini berkata, dia selalunya akan duduk berbincang dengan pereka fesyen dipilih. Dia juga tidak akan menerima saja pakaian disediakan pereka fesyen itu.

“Selalunya kami akan bertemu dan berbincang. Saya juga akan meneliti rekaan pakaian dihasilkan termasuk mengambil tahu jenis kain yang digunakan,” katanya.

Faradhiya menafikan dia bersikap ‘demand’ seperti itu kerana mahu tunjuk lagak ‘diva’. Tegasnya, ia dilakukan kerana dia mengambil berat soal gaya dan penampilan.

“Kalau saya sambil lewa saja, yang kena kecam kerana pakaian tak cantik dan kurang sesuai sudah tentu saya juga.

“Jadi, enggan terpalit dengan sebarang insiden kecaman yang akan berlaku lebih baik saya cerewet dan bersikap sangat teliti,” katanya.

Selain fesyen, Faradhiya juga memiliki bentuk badan menarik dan sudah pasti dia juga amat menitik-beratkan penjagaannya.

Dia akui menjadi rutinnya pergi ke gimnasium untuk bersenam sejak usia remaja lagi. Katanya, pantang ada masa terluang, dia pasti akan ke gimnasium.

“Kalau masa lapang saya banyak, boleh dikatakan dari Isnin hingga Jumaat rutin harian saya berada di gimnasium untuk bersenam.

“Selalunya saya akan bersenam selama satu hingga dua jam. Itu pun bergantung pada kelapangan masa saya,” katanya.

Turut aktif dalam sukan, Faradhiya akui dia wanita lasak. Selain bersenam, dia juga mengikuti kelas Muay Thai.

“Saya sukakan Muay Thai kerana ia adalah sukan ekstrem yang memerlukan banyak pergerakan boleh dibuat dan ada lagu.

“Terus terang, saya kurang selesa dan rasa tak sesuai dengan aktiviti yoga. Jadi, Muay Thai adalah pilihan saya,” katanya.

Jika tidak terbabit dengan aktiviti seni, Faradhiya selesa tampil ringkas dengan menggayakan topi dan pakaian sukan.

Dari aspek penjagaan pemakanan pula, Faradhiya tidak mengamalkan kaedah diet. Apa yang diutamakan ialah mengelak mengambil makanan bergoreng.

“Saya lebih gemar makanan yang dimasak secara rebus dan panggang. Selain itu, saya juga pastikan lebih makan sayuran dan buah-buahan. Saya kurang makan daging,” katanya.

Wanita kacukan Melayu-Inggeris ini berkata, kalau ada persembahan nyanyian dia selalunya mengelak makanan berminyak.

Faradhiya yang sebelum ini muncul dengan single Milikku Abadi ciptaan Tam Spider, akan tampil dengan satu lagi lagu baru, Kepada Dia. Lagu ini adalah genre muzik moden balada hasil ciptaan Srikandi dan lirik oleh Hang Nadim.

Post a Comment

Previous Post Next Post