
Dira akhirnya memberitahu, hubungan rumah tangganya bersama Helmi yang dibina pada 2011 kini sudah berakhir. Mereka kini dalam proses perceraian.
Bertemu dengan aktres dan pengarah muda, Dira Abu Zahar di Red Garage, Kuala Lumpur baru-baru ini, dia bercerita lanjut tentang perpisahannya dengan suami, Mohd. Helmi Mohd. Yusof, 38, seorang pengarah filem,
Mengakui perceraian dengan Helmi masih dalam proses mahkamah, Dira atau nama sebenarnya, Khaidhirah Abu Zahar, 32, tetap mempunyai hubungan yang baik dengan bekas suaminya yang juga merupakan pengarah sinematografi terkenal.
Walaupun kenyataan perceraian tersebut terpaksa ditelan dengan pahit, Dira yang mendirikan rumah tangga dengan Helmi pada 2011 percaya itulah jalan terbaik untuk kedua-dua pihak.
KOSMO!: Apabila Dira mengakui bahawa sudah tidak lagi tinggal sebumbung dengan suami sejak Jun lalu dan memberikan alasan kesibukan kerjaya kepada khalayak, adakah anda merasakan alasan tersebut sudah cukup munasabah untuk mengatakan rumah tangga kalian masih dalam keadaan harmoni?
DIRA: Minta maaf, saya tidak boleh puaskan hati semua orang. Itu adalah jalan yang terbaik dan saya tidak boleh kongsi semua perkara. Buat masa sekarang, kami tidak lagi bersama dan sedang menunggu panggilan mahkamah untuk bercerai. Hal ini adalah untuk kebaikan semua pihak dan saya rasa ia tidak perlu disensasikan lagi memandangkan saya telah buat kenyataan tentang status saya dan dia sebelum ini. Itu sudah mencukupi.
Mengapa sebelum ini anda menafikan berita tersebut apabila ditanya pihak media?
Sebenarnya, waktu itu memang saya sudah berbincang dengan dia (suami) untuk tidak mendedahkan apa-apa berkaitan masalah rumah tangga kami. Bagaimanapun, saya sendiri sedar bahawa saya masih memegang status sebagai selebriti. Jadi, saya perlu menjelaskannya kepada khalayak terutama apabila rumah tangga kami tidak boleh diselamatkan lagi.
Pada mulanya, saya dan dia sudah sepakat untuk tidak mendedahkan hal tersebut, namun saya sedar bahawa lambat-laun orang akan tahu juga apabila kami tidak lagi tinggal bersama. Sebab itu akhirnya saya mengaku akan bercerai dengannya.
Walaupun tidak lagi bersama sebagai suami isteri, adakah anda masih mengekal hubungan baik dengannya demi kebaikan Anggun (anak Dira menerusi perkahwinan pertama).
Walaupun bercerai, kami selesaikan masalah ini dengan cara baik. Tiada halangan atau paksaan buatnya untuk berjumpa Anggun. Semua telah diselesaikan dalam keadaan yang baik. Anggun memang berada bawah jagaan saya.
Anggun kini sudah berusia sembilan tahun, bagaimana reaksinya apabila mengetahui ibu dan bapa tirinya tidak lagi bersama sebagai suami isteri?
Dia sudah semakin membesar dan saya tidak mahu komen lebih mengenai hal itu. Saya tidak mahu dia membaca sesuatu di dada akhbar yang berkaitan tentang masalah ibu dan bapanya. Masalah peribadi saya, biar saya sendiri yang tanggung saya yakin dia amat faham tentang hal itu.
Bagaimana dengan fokus kehidupan selepas ini memandangkan anda tidak lagi berlakon, namun masih terlibat dalam bidang pengarahan?
Saya memang sangat sibuk sehingga Anggun meminta agar saya mengosongkan jadual pada hujung minggu buatnya. Saya memang sudah tidak mahu berlakon lagi, namun saya masih aktif dalam bidang pengarahan.
Terbaharu, saya diberi peluang untuk mengarah teater muzikal Dia Semanis Honey yang akan ditayangkan selama tujuh hari bermula 3 Januari tahun hadapan di Istana Budaya.
Saya juga sibuk menguruskan perniagaan dan semakin berjinak-jinak dalam bidang politik.
Selain itu, saya juga sibuk menguruskan hal berkaitan Kuala Lumpur Bike Week 2016 yang akan berlangsung pada 16 dan 17 Disember nanti bertempat di The Lanai, Pusat Penerangan Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur.
Mengarahkan teater muzikal Dia Semanis Honey mungkin bukan tugas mudah kerana ia sebuah jenama popular dalam kalangan peminat yang mengikuti drama rantaian tersebut di kaca televisyen. Bagaimana melihat situasi tersebut?
Saya akui ia sebuah jenama yang sangat besar. Ia merupakan transisi daripada novel ke drama televisyen dan kini ke pentas teater. Insya-Allah, saya melihat tugasan itu sebagai cabaran baharu dalam bidang pengarahan. Latihan hanya akan bermula pada 22 November ini.
Tambah menarik, Dia Semanis Honey dalam versi teater dipentaskan secara muzikal. Alhamdulillah, setakat ini, saya gembira dengan komitmen pelakon-pelakon yang terlibat. Memandangkan ia sebuah muzikal, saya melihat cabaran yang kami hadapi untuk pementasan ini adalah daripada aspek nyanyian dan tarian tetapi saya yakin, semua pelakon termasuk Siti Nordiana dan Alif Satar mampu menjayakannya dengan baik.