
Peminat tidak melepaskan peluang merakam gambar Anuar pada majlis Meet & Greet Anuar Zain di Setapak, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Demi peminat, Anuar Zain sanggup mengetepikan status eksklusif yang sering dipandang khalayak terhadapnya dengan mengadakan majlis Meet & Greet Anuar Zain bagi mempromosikan album kelimanya.
Bukan di hotel-hotel atau lokasi mewah, sebaliknya majlis itu diadakan di enam pasar raya Mydin terpilih di serata negeri termasuk satu lokasi Teh Tarik Place di Setapak Central, Kuala Lumpur.
Semuanya gara-gara penyanyi bersuara emas itu mahu bertentang mata dengan para peminatnya di serata negeri.
Biarpun namanya dijulang tinggi khalayak yang mengagumi bakatnya, Anuar kekal merendah diri.
Beliau cukup teliti dan bersemangat menghidangkan yang terbaik untuk peminat-peminat. Maka, tidak hairan lah album kelimanya yang dikatakan menelan belanja termahal yang pernah dihasilkan iaitu mencecah ratusan ribu ringgit, tidak pernah difikirkan Anuar untuk mengaut keuntungan.
Beliau hanya mahu peminat berpuas hati dengan album terbaharunya itu dan sentiasa menyokong karier nyanyiannya.
Hakikatnya, walaupun dalam keadaan ekonomi negara yang tidak memberangsangkan, album kelima Anuar itu berjaya dijual sebanyak 11,000 unit selepas lebih sebulan dilancarkan.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan jumlah tersebut. Bagi saya, strategi pemasaran itu penting untuk mendapatkan hasil yang baik, selain kualiti produk yang bagus. Malah, kejayaan album-album saya juga terletak pada pasukan kerja yang baik. Ditambah dengan keikhlasan dan kerja keras kami untuk memastikan album tersebut mendapat pendedahan yang luas,” ujarnya kepada Sensasi Bintang.

Anuar kini mempunyai akaun Instagram bagi memudahkan peminat mengikuti perkembangan terkini kariernya.
Ahad lalu, Anuar sekali lagi bertemu peminat-peminatnya di majlis Meet & Greet yang berlangsung di Teh Tarik Place, Setapak Central.
Bahkan, penjualan album Anuar di majlis tersebut juga habis dalam waktu yang singkat. Menariknya, Anuar turut menerima seutas jam tangan mewah berjenama Rolex daripada peminatnya ketika menjayakan acara Meet & Greet di restoran berkenaan.
Menurut Anuar, beliau masih mempromosikan album kelimanya itu melalui majlis Meet & Greet Anuar Zain yang menjadi salah satu rangka program tersebut.
Selepas ini, Anuar bakal bertemu peminat-peminatnya di Mydin Seremban 2, Negeri Sembilan dan Mydin Pelangi Indah, Johor Bahru.
Di sisi lain, adik kepada Ziana Zain itu akhirnya kini mempunyai akaun Instagram. Anuar terpanggil untuk mempunyai akaun Instagram kerana menyedari netizen lebih cenderung mendapatkan maklumat dengan melayari Internet.
“Saya sedar, lebih ramai yang suka melayari internet daripada menonton atau mendapatkan maklumat daripada media arus perdana. Jadi, saya tidak mahu ketinggalan dan ingin mengambil peluang untuk mendapatkan pendedahan pada medium lain supaya muzik dan maklumat tentang kerjaya seni saya dapat diketahui dengan lebih meluas lagi oleh peminat.
“Malah, mereka juga boleh mengetahui segala aktiviti saya menerusi @anuarzainnetwork,” jelasnya.
Sengaja mencungkil apa yang peminat tidak tahu mengenai Anuar Zain, beliau memberitahu, dia suka melayari internet untuk mendapatkan maklumat tentang kereta dengan menonton dokumentari atau rebiu oleh wartawan permotoran.
Selain itu, penyanyai yang menggemari pemanis mulut itu juga gemar melancong keluar negara dan mengumpul kemeja-T serta gelas kaca sebagai cenderamata. Anuar juga menganggap aktiviti memandu sebagai hobinya.