Watak antagonis beri tuah Nadya Syahera


DRAMA episod Dia Semanis Honey yang diterajui dua pelakon utamanya iaitu Alif Satar dan Siti Nordiana ternyata memberi tuah buat pelakon yang memegang watak antagonis, Nadya Syahera, 23.

Rentetan daripada impak besar watak Bella yang dibawa gadis dari Kuala Nerang, Kedah ini ternyata memberi signal kehadiran gadis yang pernah menjadi finalis dalam pertandingan Pencarian Gadis Nur & Dara.com 2010/11 ini ke persada seni lakon tempatan tidak hanya bersandar pada paras menawan semata.

Keberkesanannya di dalam menjayakan watak hitam di dalam drama tersebut diteruskan menerusi drama Abang Bomba I Love You di samping Hisyam Hamid dan Jaslin Puasa.

Ternyata, perjalanan seninya untuk tahun kini kian menampakkan sinar. Tidak lama lagi, Nadya atau nama sebenarnya Nadya Syahera Rosli bakal muncul dengan sebuah lagi telemovie berjudul Jatuh Cinta Buta bersama Redza Rosli dan Zara Zya.

Berkongsi mengenai perjalanan kariernya kini, graduan Unisel kampus Shah Alam ini mengakui gementar menantikan reaksi pencinta seni dalam drama lakonannya selepas ini.

“Jujurnya, dua drama itu banyak memberi tuah buat saya hingga semakin dikenali di kalangan pencinta drama Melayu khususnya. “Alhamdulillah, sangat terharu kerana meski pun membawa watak hitam, namun sekurang-kurangnya ramai yang percaya dengan bakat lakonan ini walaupun masih baru.

“Namun perasaan saya berbaur gembira dan gementar kerana sudah pasti, selepas kejayaan dua drama tersebut, penonton akan mengharapkan sesuatu yang lebih baik selepas ini.

“Justeru, saya mengambil langkah untuk terus belajar dan belajar demi memberikan yang terbaik,” katanya.

Kagumi Nabila Huda, Fasha Sandha

Ditanya mengenai permulaan kerjaya seninya, aktres tinggi lampai ini memberitahu, pada peringkat awal, dia banyak terlibat dalam modeling untuk busana Muslimah.

“Saya menjadi model Muslimah ketika berumur 18 tahun. Waktu itu masih lagi belajar dan penglibatan saya dalam modeling hanyalah sekadar untuk mencari duit poket.

“Namun segalanya berubah apabila seorang rakan mempelawa saya hadir ke sesi uji bakat mencari pelakon baru drama Aku Bukan Haji di samping aktor Ashraf Muslim dan mungkin rezeki saya, diterima memegang watak heroin.

Bagaimanapun, Nadya tahu kualiti lakonannya dikritik teruk dan mengakui tidak bersedia memegang watak sebesar itu.

Nadya kemudiannya berehat lebih kurang setahun dari lakonan dan memberi tumpuan kepada pelajaran.

“Dalam proses tersebutlah, saya mulai rajin membuat rujukan mengenai skil lakonan, belajar dari pengalaman lalu dan kini saya kembali dengan visi yang lebih matang, Insya-ALLAH.

“Sewaktu melakukan comeback, saya hanya ambil watak ekstra saja kerana saya percaya, untuk berjaya, kita tidak perlu rasa malu untuk belajar demi memastikan apa yang dilakukan akan memberikan hasil yang diimpi-impikan," katanya.

Katanya, jika diberi peluang, gadis optimis ini mengimpikan watak lebih mencabar wibawa sebagai pelakon misalnya watak yang memerlukannya berendam air mata atau memainkan peranan sebagai gadis psiko yang memerlukan mainan emosi yang sarat.

Berkongsi mengenai idolanya pula dalam dunia lakonan, Nadya cukup mengagumi kredibiliti aktres Nabila Huda dan Fasha Sandha.

“Saya lihat mereka punyai aura yang kuat di dalam membawa sesebuah watak. Penghayatan mereka sangat baik hingga melekat di hati penonton.

“Sebagai pendatang baru, sudah tentunya saya mahu belajar dari senior dan pengalaman beraksi bersama pelakon lama memberikan input yang berguna buat saya dalam memberikan mutu lakonan yang lebih mantap.

“Harapnya juga, penonton dapat memberikan sokongan buat saya rakan pelakon baru seangkatan bagi memeriahkan industri seni tanah air,” akhiri Nadya yang sempat merakamkan ucapan Selamat Hari Deepavali buat semua penganut agama Hindu di negara ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post