Taruhan sulung Sam Nuhair


ENGGAN ‘hilang’ daripada arus seni hiburan tempatan selepas menyertai program realiti Akademi Fantasia (AF), Nuha atau kini lebih senang dengan nama komersialnya, Sam Nuhair.

Single sulungnya berjudul Kau Menjauh merupakan buah tangan buat peminat yang selama ini tidak putus menyokong sejak menyertai AF lebih dua tahun lalu.

“Saya sedar, sebagai artis baharu, persaingan yang diterima begitu sengit. Senarai lagu baru yang diputarkan di corong-corong radio juga tidak kurang hebatnya.

"Jadi saya anggap persaingan ini adalah sesuatu yang lumrah dan sihat. Saya tidak anggap rakan artis senior sedia ada sebagai pesaing, tetapi mereka ada pembakar semangat buat penyanyi yang masih hijau seperti saya untuk terus mengatur langkah yang lebih gigih untuk menyerlahkan bakat yang ada, bukan hanya bersandarkan kepada paras fizikal semata-mata,” katanya.

Katanya, pada masa sama, Sam Nuhair tidak mahu melabelkan situasi tersebut sebagai medan berlawan di antara satu sama lain.

"Lebih baik saya tanamkan dalam diri setiap penyanyi itu menghadiahkan lagu buat pendengar dengan keistimewaan tersendiri. Selebihnya ia bergantung kepada rezeki dan tuah,” ujarnya lagi.

Ditanya mengenai apakah kelainan yang cuba disampaikan menerusi single tersebut, penyanyi yang baru menginjak usia 23 tahun ini memberitahu kekuatan yang ada dalam lagu Kau Menjauh adalah dari sisi melodi dan penghayatannya dalam nyanyian.

“Saya nukilkan lagu tersebut pada usia 17 tahun. Ia merupakan lagu yang berkisar mengenai persoalan cinta. Jadi sudah tentulah pengisian liriknya juga saya ambil daripada pengalaman sendiri lalu didedikasikan di dalam lagu itu yang telah pun dilancarkan pada 26 Ogos lalu,” sambung Sam Nuhair.



Percaya pada rezeki

Menyifatkan dirinya bertuah kerana mempunyai label dan pihak pengurusan yang betul iaitu JoePRC International, Nuha merakamkan rasa terharu dan terima kasihnya atas kepercayaan dan penerimaan ramai terhadap lagu tersebut.

“Biar ia baru dilancarkan, namun maklum balas yang diterima setakat ini begitu memberangsangkan. Ya, ia sesuatu yang menggembirakan buat saya sebagai pendatang baru dalam skop dunia seni tempatan.

“Jadi apabila adanya respons yang baik dan membina, ia sedikit sebanyak memberi suntikan semangat untuk memberikan yang terbaik dan saya juga mengharapkan agar rezeki lagu ini lebih dikenali ramai pada masa akan datang akan menjadi realiti, Insya-ALLAH,” katanya yang sudah pun mula mencipta lagu sejak berusia 15 tahun.

Post a Comment

Previous Post Next Post