Raqim Ahmad, Tiada pilih kasih dalam pemilihan peserta GegarVaganza


BARISAN peserta GV3 yang diperkenalkan kepada wakil media di ibu kota petang tadi.

Tiada sebarang konspirasi ataupun sikap pilih kasih berlaku ketika proses pemilihan peserta Gegar Vaganza 3 (GV3) tahun ini diadakan.

Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad, berkata kriteria pemilihan peserta adalah sama pada setiap musim dengan seseorang penyanyi harus mempunyai lagu hit selain berupaya menyanyi secara 'live'.

"Cuma, kali ini ada kuota tertentu yang perlu diberikan perhatian. Mya pula tidak berjaya kerana dia tidak melepasi syarat ditetapkan. Begitupun, saya tidak boleh memperincikan satu persatu perkara berkenaan.

"Jika dirinya menganggap faktor menjadi duta produk sebagai alasan tidak dipilih, ia tidak benar kerana Jihan (Muse) juga duta produk lain, tetapi masih menjadi pengacara GV3," katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan 12 peserta rancangan terbabit di sini, petang tadi.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas kenyataan Mya yang antara lain mempersoalkan kriteria pemilihan yang disifatkannya sebagai kabur dan mengelirukan. Kenyataan penyanyi Matahari itu disiarkan BH Online, hari ini.


KETUA Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad.

Penyanyi terbabit juga terkilan yang dengan cara penganjur memberikan layanan selepas menjayakan uji bakat rancangan terbabit, bagi musim kedua dan ketiga.

"Saya harap janganlah ada pihak yang berkecil hati. Peluang untuk bertanding masih ada. Kami takkan senarai hitamkan Mya walaupun dia mengeluarkan kenyataan sedemikian," katanya.

Mengenai tindakan Astro yang tidak memaklumkan lebih awal keputusan uji bakat kepada mereka yang mengambil bahagian, Raqim berkata, ia prosedur biasa selain bagi mengelakkan keputusan bocor sebelum tibanya waktu pengumuman rasmi.

Sementara itu, 12 peserta yang terpilih menyertai rancangan itu ternyata sama dengan senarai yang dibocorkan di laman sosial, baru-baru ini.

Mereka yang terpilih menjayakan musim ketiga ialah Ameng Spring, G-Mie Screen, Razis Ismail, Rem, Shidi Data, Zarul Umbrella, Siti Sarah, Intan Sarafina, Zur Eda, Azharina, Elly Mazlein dan Nora.

Pengarah Muzik, Datuk Ramli MS, dan penyanyi berpengalaman, Datuk Khadijah Ibrahim, masih kekal sebagai pengkritik tetap, manakala Nabil Ahmad dan Jihan pula terus menggalas tanggungjawab pengacara.

Konsert mingguan pertama GV3 akan berlangsung pada 16 Oktober depan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Ia akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria dan Ria HD.

Post a Comment

Previous Post Next Post