Bergelar artis dan pada masa sama pelajar sekolah tidak mematahkan semangat bekas peserta Ceria Pop Star musim kedua, Putri untuk meneruskan minatnya seiring pelajaran.
Bagi Putri atau nama sebenarnya, Putri Ain Natashha Abdul Malek, 16, selepas tiga tahun membabitkan diri dalam industri hiburan, dia kini lebih bijak menyusun jadual supaya tidak kecundang dalam kedua-dua bidang.
“Alhamdulillah, dalam tempoh hampir tiga tahun ini, saya sudah dapat biasakan diri untuk seimbangkan antara pelajaran dan karier seni,” katanya.
Terbaru, Putri baru sahaja hadir dengan single baru berjudul Panas Hujan hasil ciptaan komposer baru, Haikal Zarrin.
“Ini percubaan kedua saya sebagai penyanyi. Sebelum ini, saya pernah keluarkan single pertama berjudul Di Langit Awan Biru pada 2014.
“Mungkin kurang mendapat sambutan, kali ini saya cuba sekali lagi dan tentunya saya mengharapkan agar lagu ini diterima baik kerana genrenya yang lebih rancak,” katanya.
Ditanya sama ada tahun hadapan dia akan berehat semula kerana akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Putri berkata, dia tidak akan berbuat demikian.
“Saya tidak akan berehat, cuma saya akan memperlahankan kerjaya seni saya bagi memberi fokus kepada SPM.
“Ada juga kawan-kawan bertanya sama ada ia mengganggu fokus saya pada pelajaran atau tidak. Bagi saya, apa yang penting adalah pengurusan masa yang baik dan rezeki saya juga apabila ditawarkan untuk hasilkan single baru,” katanya.
Ditanya sama ada dia takut jika kerjayanya malap seperti yang pernah berlaku sebelum ini, Putri punya jawapannya.
“Saya pernah lalui naik turunnya. Rasanya, kali ini saya sudah bersedia dan biasakan diri. Saya juga banyak bertanya kepada beberapa artis yang lebih senior dan kebanyakan mereka berkongsi pengalaman dengan saya.
“Kata mereka, naik turun adalah perkara biasa dan sebagai artis, saya perlu biasakan diri,” katanya.
Berbicara mengenai penampilan dan identitinya yang nampak sedikit dewasa, Putri berkata, dia masih mencari identiti yang sesuai dengan minatnya.
“Ketika berada dalam program Ceria Pop Star, ramai yang mengatakan saya meniru gaya dan cara nyanyian Shila Amzah. Bagi saya, itu hanya kebetulan.
“Saya akui, saya memang meminatinya, namun tidaklah sehingga meniru dan ingin menjadi dirinya. Yang pasti, saya kini sedang mencari identiti sendiri dan ingin dikenali atas nama saya sendiri,” katanya.
Mengenai penampilan pula, Putri kini yang juga bergelar duta untuk sebuah butik memaklumkan, dia menerima penajaan sepenuhnya setiap kali muncul membuat persembahan.
Bagaimanapun, Putri berharap agar kehadirannya bersama buah tangan terbaru ini diterima dan mendapat tempat di hati peminat.