Nazim Othman elak berhabis beli baju mahal


Pelakon Nazim Othman, 32, mendedahkan tidak gemar berhabis wang hanya untuk mendapatkan pakaian berjenama diminati.

Sebaliknya, Nazim berkata, dia seorang yang cermat dalam perbelanjaan dan hanya akan membeli pakaian yang mempunyai nilai harga berbaloi dan bukan tertumpu pada jenama semata-mata.

"Kebanyakan baju yang saya pakai murah saja. Kena pandai cari dan pada masa sama cara kita menggayakan pakaian itu penting. Warna juga memainkan peranan dalam menentukan gaya saya.

"Pada pendapat saya, tidak guna jika kita membeli pakaian yang mahal, tetapi nampak biasa saja apabila dipakai.

"Saya pernah membeli pakaian berjenama, tetapi yang tidak berjenama dan murah nampaknya lebih bertahan lama," katanya kepada BH Online.

Baru-baru ini Nazim memuat naik foto beliau menggayakan sepasang sut bewarna merah hati dengan meletakkan keterangan beliau membeli pakaian berkenaan dengan harga RM300 saja.

Kenyataan itu membuatkan pengikut beliau di laman sosial tidak mempercayainya kerana melihatkan gaya pelakon itu, seolah-olah Nazim menggayakan sut yang mahal.

Sementara itu, Nazim berkata, ketika ini beliau tidak terlalu memikirkan untuk membeli pakaian baharu. Malah katanya, sudah lebih enam bulan beliau tidak membeli-belah.

"Apabila berlakon, saya beli banyak baju untuk dipakai ketika penggambaran. Jadi saya fikir, buat apa perlu membazir? Pakai saja apa yang ada.

"Orang ingat saya suka melabur dalam pakaian, tetapi sebenarnya tidak. kalau nak tahu, saya seorang yang sangat berhati-hati dalam mengeluarkan perbelanjaan.

"Nak cari duit bukan senang. Tambahan pula kita sebagai selebriti tiada caruman KWSP atau SOCSO seperti kebanyakan orang. Jadi, saya perlu berjimat," tuturnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post