Lufya Omar tak jadi adakan sidang media majlis kahwin


Penyanyi dan pelakon, Lufya Omar, 31, membatalkan terus sidang media majlis perkahwinannya dengan Dr Che Muhammad Hafiz yang dikatakan bakal berlangsung pada bulan depan.

Sebelum ini, bekas pelajar Akademi Fantasia musim keenam itu merancang untuk mengadakan majlis berkenaan pada 10 Oktober lalu di sebuah lokasi di Shah Alam, Selangor.

Namun, Lufya kemudian menghantar pesanan menyatakan acara sidang media terbabit ditunda tanpa menjelaskannya secara lebih lanjut.

Perkara itu tentu saja menyebabkan banyak pihak berteka-teki dengan apa yang berlaku, apatah lagi Lufya sendiri mengambil pendekatan mengunci mulut berhubung insiden terbabit.

Pasangan berkenaan melangsungkan pertunangan pada Ramadan lalu.

Malah, sejak bintang drama Umairah siaran TV3 itu memperkenalkan bakal suaminya, baru-baru ini, doktor berkenaan turut menjadi perhatian ramai kerana wajah tampan dimilikinya.

"Saya memohon maaf kerana sidang media yang dirancang tempoh hari dibatalkan atas masalah dalaman antara penaja lokasi dan pihak kami.

Berikutan tempat berkenaan belum siap sepenuhnya seperti dijanjikan, maka kami bersepakat membatalkan saja sidang media terbabit.

"Jadi, acara sidang media memang takkan diadakan dan kami akan terus kahwin saja selepas ini.

"Ditambah faktor masa dan kesibukan kerjaya seni saya, memang tidak ada rezeki untuk kami meneruskan sidang media yang ditunda itu," katanya yang berjaya dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp ketika beliau dalam perjalanan ke Alor Star, Kedah, bagi menjayakan program Raudhah Di Hatiku anjuran TV9, yang berlangsung selama dua hari mulai esok.

Ditanya mengenai persiapan perkahwinan pula, Lufya berkata ia berjalan seperti biasa.

"Persiapan kahwin saya dan bakal suami dibuat dalam skala sederhana saja.

Apa yang lebih penting, ia akan diberkati dan dirahmati Allah.

Malah, lebih utama daripada itu ialah kehidupan kami selepas berkahwin nanti.

"Saya sendiri mahu bersikap realistik kerana soal kehidupan selepas mendirikan rumah tangga perlu dirancang dengan baik, bermula dari sekarang lagi," katanya sambil meminta peminat mendoakan hasrat mulia mereka untuk disatukan sebagai suami isteri dipermudahkan.

Post a Comment

Previous Post Next Post