Konflik Rumah Tangga Jejas Persembahan Elly Mazlein Dalam Gegar Vaganza


Elly Mazlein ralat tidak beri persembahan terbaik.

Emosi Elly Mazlein terganggu akibat konflik rumah tangga sehinggakan persembahan dia pada konsert minggu pertama, Gegar Vaganza 3 pada malam Ahad dilihat kurang memberangsangkan.

Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 36, berkata, dia berasa terlalu sedih ketika menyanyikan lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan yang mempunyai persamaan dengan apa yang terjadi dalam kehidupannya ketika ini.

"Lagu tersebut terlalu sedih, ia mempunyai persamaan dengan kisah kehidupan saya sekarang sehingga saya berbawa-bawa emosi ketika menyanyi di atas pentas," ujarnya kepada mStar Online.

Elly ditanya mengenai persembahannya yang kurang memberangsangkan di konsert pertama program Gegar Vaganza 3, yang berlangsung di Auditorium MBSA Shah Alam pada malam Ahad.

Elly dan pengarah drama Azmi Hatta berkahwin pada 9 November 2014 dan bercerai pada 15 Oktober 2015 ketika Elly sedang hamil empat bulan.

Sementara itu, tambah Elly, masalah kesihatannya juga menjadi salah satu faktor dia tidak dapat membuat persembahan terbaik.

"Saya ralat sangat tidak dapat berikan persembahan terbaik malam tadi (Ahad) kerana masalah kesihatan iaitu demam dan sakit tekak sejak beberapa hari yang lalu.

"Insya-Allah, saya akan cuba untuk pulih dan sihat sepenuhnya pada minggu hadapan," ujarnya.

Dalam pada itu, Elly berkata, dia terharu dengan sambutan luar biasa daripada peminat-peminatnya yang memberi sokongan ketika dia membawakan lagu tersebut.

Dia berjanji untuk memberi yang terbaik buat peminatnya pada minggu kedua program berkenaan.

Penyanyi lain yang turut bertanding ialah Ameng (Spring), Gmie (Screen), Razis Ismail, Rem, Shidi (Data) Nora, Intan Sarafina, Azharina, Zarul (Umbrella), Siti Sarah dan Zur Eda.

Ia turut disiarkan secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Post a Comment

Previous Post Next Post