Kamal Adli kongsi rasa


Setiap program masakan atau juadah yang menemui penonton di kaca televisyen pasti mendapat sambutan menggalakkan. Lantaran itu, walaupun sebelum ini sudah ada program yang mengetengahkan tempat makan menarik di negara ini, pendekatan program terbaru, Taste Selebriti nyata mempunyai keunikan tersendiri.

Buktinya, program berbentuk travelog itu mengetengahkan beberapa artis popular pulang ke kampung halaman masing-masing untuk berkongsi mengenai makanan tradisi dan juadah yang popular di tempat kelahiran mereka.

Menariknya, ia bukan sekadar program memperkenalkan makanan semata-mata tetapi pada masa sama satu bentuk promosi pelancongan mengenai tempat menarik yang boleh dilawati buat orang luar.

Antara selebriti yang terbabit dalam program itu adalah pelakon kelahiran Pekan, Pahang, Kamal Adli.

Dia yang ditemui pada sesi penggambaran travelog itu di Kuantan, Pahang, baru-baru ini berkata, program itu satu pendekatan baru dalam memartabatkan makanan tradisi yang popular di setiap negeri.

“Dalam program ini, kita bawakan kepada penonton mengenai makanan tradisi yang terkenal di setiap negeri. Kalau sebut Pahang, orang biasanya akan terlintas dengan menu patin tempoyak yang cukup popular di negeri itu.

“Bukan ikan patin sahaja sebenarnya, banyak lagi makanan di Pahang yang cukup popular antaranya puding raja yang menjadi makanan manisan orang di sini,” katanya.

Bercerita mengenai pengalaman sepanjang dua hari ‘berkampung’ di Pahang, Kamal beritahu dia tidak berhenti menikmati menu baru yang tidak pernah dirasai sebelum ini selain dapat melepas kerinduan di kampung halaman.

“Memang sepanjang proses penggambaran ini, saya tak henti-henti makan. Kalau ikutkan orang datang ke sini mahu mencari ikan patin masak tempoyak, cumanya mungkin ada yang tidak tahu di mana lokasi popular untuk orang mendapatkan juadah itu jika bertandang ke Pahang. Lain tempat, lain rasanya.

“Bahkan, sewaktu sesi penggambaran ada juga lokasi yang saya sendiri belum pernah singgah sebelum ini. Jadi ia memang satu pengalaman baru,” kongsinya.

Menurut Kamal, selain memaparkan juadah hidangan menarik, dia juga akan berkongsi tip mengenai tempat makan hebat di sekitar negeri kelahirannya juga.

“Setiap artis jemputan akan bertindak sebagai hos untuk mengendalikan episod terbabit. Jadi untuk segmen di Pahang, sayalah yang akan mengacarakannya. Seronoknya mengendalikan program ini kerana dapat pulang ke kampung sendiri.

“Inilah masanya untuk mengimbau kenangan di tempat kelahiran sendiri. Di sini jugalah kita dapat kongsikan kepada penonton tempat menarik yang ada di daerah lain.

“Bagi mereka yang tidak tahu cara makan puding raja, bolehlah melihat sendiri program itu nanti. Penonton akan dapat lihat sendiri bahan yang digunakan untuk membuat puding raja daripada pembuat yang cukup popular di Pahang,” katanya.

Semestinya ia program yang menarik apabila penonton dapat melihat sendiri gelagat selebriti dalam pengembaraan mereka demi menikmati juadah di negeri masing-masing.

Antara selebriti lain yang terbabit dalam program 13 episod ini, Neelofa (Kelantan), Ayu Raudhah (Kedah), Izreen Azminda (Perlis), Sya≠tilla Melvin (Pulau Pinang), Zizan Razak (Terengganu), Mawi (Johor), Aril (Melaka), Sari Yanti (Negeri Sembilan), Fattah Amin (Selangor), Marsha Milan Londoh (Sabah), Hafiz Suip (Sarawak) dan Raja Ilya (Perak).

Program ini sedang bersiaran di Astro Bella dan Mustika HDm setiap Isnin, jam 9 malam.

Post a Comment

Previous Post Next Post