Jaslin Puasa kagumi Aaron, Bront Palarae


NAMANYA mungkin tidak sekukuh finalis Hero Remaja lain seperti Kamal Adli atau pun Fizo Omar dalam dunia seni lokal. Namun bagi Jaslin Puasa atau nama sebenarnya Mohd Jaslin Puasa, dia optimis mengejar impian, sekali gus meletakkan dirinya sebaris dengan ‘rakan Hero’ yang lain dalam gelanggang lakonan dan pengacaraan.

Terkini, anak jati Kota Tinggi, Johor ini, kian menempa nama menerusi drama bersiri adaptasi novel, Abang Bomba I Love You, kini bersiaran di Astro Ria dan Ria HD.

Mengulas mengenai penglibatannya di dalam drama terbitan Global Station Sdn Bhd itu bersama pelakon lain seperti Hisyam Hamid dan Amirah Othman itu, Jaslin memberitahu, peluang yang datang merupakan rezeki buatnya apatah lagi ia pada waktu tepat.

“Jujurnya, saya memang mengambil masa lama untuk memberi komitmen sepenuhnya pada dunia seni kerana selepas pertandingan Hero Remaja 2007/08 lalu, saya beri fokus pada pengajian dan selepas itu memberi tumpuan pula pada kerjaya yang berkaitan dengan grafik dan fotografi. Selepas semuanya stabil dan konsisten, barulah saya berani untuk beri tumpuan pada lakonan,” katanya.

Meskipun watak diterima bukan pendukung utama, namun tawaran itu saya anggap sebagai rezeki dan Alhamdulillah menerusi drama tersebut, makin ramai yang sedar akan kehadiran saya dalam dunia seni.

"Terima kasih juga buat semua yang sentiasa menyokong,” ucap Jaslin.

Menerusi drama 16 episod itu, aktor 29 tahun ini, memainkan peranan sebagai Haziq.

Kutip pengalaman

Ditanya mengenai siapakah pelakon yang dikaguminya, aktor ini mengakui amat menghormati dan kagum dengan perjalanan seni dua aktor hebat iaitu Aaron Aziz dan Bront Palarae.

Katanya, dua aktor itu sangat hebat di atas usaha dan kualiti lakonan ditampilkan sama ada menerusi drama atau filem.

“Saya tidak melihat kepada populariti dimiliki mereka, tetapi saya kagumi bakat dan aura mereka.

"Mereka juga membina nama sedikit demi sedikit untuk berada di tempat sekarang. Insya-ALLAH, saya juga mahu jadi seperti mereka," katanya.

Jaslin juga mengakui tidak mahu terlalu cepat mengejar populariti dan mahu diterima kerana bakatnya.

“Biarlah saya naik sedikit demi sedikit kerana dalam tempoh tersebutlah saya mampu untuk belajar lalu mengutip pengalaman yang ada dalam mengejar cita-cita.

"Saya akui, saya masih lagi ‘hijau’ dalam lakonan. Jadi sebab itulah saya mahu terus belajar untuk mengasah bakat,” beritahu anak ke-10 daripada 11 beradik ini.

Mengulas lanjut perihal perjalanan seninya yang kian menampakkan sinar kini, Jaslin turut teruja untuk ke set penggambaran sebuah program travelog terbaru di saluran Bes 1 RTM berjudul Etnik Bumi yang bakal memulakan penggambarannya pada penghujung bulan ini.

Berkongsi mengenai program tersebut, Jaslin menjelaskan, ia merupakan rancangan yang memberi fokus kepada gaya hidup dan budaya masyarakat pedalaman.

“Untuk blok terawal, program sebanyak 30 episod akan memulakan penggambaran di Sabah dan Sarawak.

"Insya-ALLAH kami akan ke lokasi menarik seluruh Malaysia selepas ini. Saya memang tidak sabar untuk ke set tersebut kerana saya seorang yang mencintai alam sekitar.

"Jadi inilah masanya untuk saya melakukan sesuatu yang saya suka dan pada masa sama cuba untuk memberikan yang terbaik dalam dunia mengacara.

“Tambahan, ini percubaan pertama dan pastinya saya harapkan sokongan daripada penonton bila ia bersiaran kelak," katanya.

Jelas aktor kacak ini, memandangkan dirinya masih baharu, dia sudah pasti akan belajar dan terus belajar.

"Saya juga percaya pada rezeki dan pastinya tawaran berlakon dan mengacara yang saya terima ini saya akan jadikan ia sebagai satu amanah yang perlu dilakukan dengan sebaik mungkin.

"Saya tahu saya tidak boleh memuaskan hati semua pihak. Namun saya tidak malu untuk bertanya dan belajar dari para senior untuk memantapkan lakonan dan skil pengacaraan,” akui Jaslin yang sebelum ini turut mengambil peluang mengisi masa bersama hampir 20 peminat setia di Yogyakarta, awal September lalu.

Antara destinasi menarik yang dilawati mereka ialah lokasi sama yang terdapat di dalam filem Ada Apa Dengan Cinta 2.

Post a Comment

Previous Post Next Post