SELEPAS meletup dengan drama Abang Bomba I Love You bulan lalu, aktor dari Singapura, Hisyam Hamid kini sibuk di lokasi penggambaran drama terbaru terbitan Skop Production berjudul Andartu Kau Bidadariku.
Drama 15 episod itu diarahkan oleh pengarah berkaliber, Aziz M.Osman.
Apa yang menariknya, gandingan heroin buat aktor berusia 31 tersebut ialah primadona filem Melayu, Erra Fazira.
Mengakui teruja apabila dapat bekerjasama dengan salah seorang aktres wibawa yang menjadi idolanya itu, Hisyam berharap agar drama tersebut nanti akan memberi impak sebaik Abang Bomba I Love You apabila ia ditayangkan kelak.
“Satu kebanggaan apabila dapat terlibat sama dalam drama bersama Erra Fazira, apatah lagi kita sedia maklum perihal aura dan personanya mahu pun di kaca televisyen atau pun filem.
"Saya juga merupakan antara salah seorang peminatnya. Sepanjang penggambaran, saya dapati Erra seorang yang teliti, termasuk dalam soal kesinambungan sesuatu babak dan watak.
“Ini merupakan gandingan pertama kami dan saya pastinya tidak sabar untuk lihat hasilnya nanti apabila ia ditayangkan,” katanya ketika ditemui.
Ditanya mengenai perjalanan seninya yang kini berada di bawah pengurusan Astro, Hisyam sebetulnya tidak menetapkan syarat untuk berlakon di bawah satu stesen televisyen sahaja.
“Buat masa ini, saya banyak fokus kepada drama-drama buat saluran Astro kerana bagi saya, stesen ini mempunyai platform yang sangat luas dan besar.
"Jadi sebagai pelakon, sudah pasti ia merupakan satu signal baik untuk saya sebagai seorang selebriti dalam menonjolkan bakat yang ada. "Misalnya bila bersama mereka, saya tidak hanya muncul di saluran drama sahaja.
"Sebaliknya, turut muncul sebagai penampilan khas dalam program berbentuk hiburan lain seperti Meletop, Akademi Fantasia dan sebagainya.
"Saya sendiri masih anggap diri ini masih lagi mencari tapak yang kukuh demi membina nama di Malaysia. Jadi bila adanya peluang yang dirasakan baik, itu saya kira itu sebagai rezeki,” katanya lagi.