Hazama Simpan semua album Slam


Mula dikenali selepas bergelar juara Akademi Fantasia musim sembilan (AF9), Hazama Azmi, 32, terus mengorak langkah sebagai antara penyanyi solo lelaki yang berjaya mengekalkan prestasi.

Hazama sangat teliti dalam pemilihan lagu dan kekuatan vokalnya kini jauh lebih baik berbanding ketika awal pembabitannya pada 2004.

Walaupun mengambil masa lama untuk dikenali, usaha dan penantian itu tidak sia-sia. Banyak lagunya mendapat sambutan antaranya Cinta Teragung, Simetri, Relakan Jiwa, Penglipur Lara dan Malaikat.

Siapa sangka, Hazama atau Hazama Ahmad Azmi yang dilahirkan di Keramat, Kuala Lumpur pada 28 November 1984, berjaya melangkah jauh dalam dunia nyanyian bertitik tolak daripada minatnya kepada Zamani Ibrahim, vokalis Slam ketika usia belasan tahun.

Selebriti Metro Ahad memperkenalkan kolum baru, Fanatik untuk membongkar siapa idola atau bintang diminati artis popular hingga mendorong mereka bergelar anak seni.

Hazama mengakui membesar dengan himpunan lagu-lagu Slam. Tidak keterlaluan andai dia meletakkan dirinya sebagai peminat fanatik Zamani.

“Saya dan Zamani tinggal sekampung di Keramat. Rumah saya tidak jauh dari sekolahnya tetapi tidak pernah terserempak dengannya. Mungkin kerana lingkungan hidup saya hanya di Keramat sedangkan dia sibuk dengan kerjaya.

“Kerana terlalu minatkan Zamani, saya pernah beberapa kali pergi mengetuk pintu rumahnya dan menyanyikan lagu Slam dengan harapan dia akan membuka pintu.

“Andai perkara itu terjadi, pasti saya adalah manusia paling gembira dan boleh tunjuk lagak di sekolah. Bagaimanapun, perkara yang saya harapkan itu tidak pernah terjadi,” katanya.

Sejak itu juga Hazama ingin mengikut jejak Zamani menjadi penyanyi dikenali suatu hari nanti. Dia mencuba nasib dalam berpuluh-puluh uji bakat dan menyertai pelbagai pertandingan nyanyian.

Persembahan pertamanya di televisyen pada 27 Mei 2006 untuk Konsert Prelude AF4 ketika pemilihan 12 pelajar tetapi tuah tidak berpihak padanya.

Pernah menjadi penyanyi pengganti sementara untuk kumpulan Meet Uncle Hussain (MUH) apabila penyanyinya, Azlan Rosle keluar daripada kumpulan itu dan sempat merakam lagu Pokok pada 2011, itu belum cukup buatnya.

Dia mencuba nasib sekali lagi di pentas AF9 tetapi tetap tidak berjaya. Bagaimanapun, Pengetua AF9, Amy Search mahu Hazama diserap masuk pada minggu ketiga dan seminggu itu, kedudukan undiannya terus berada di tangga pertama dan bertahan sehingga akhir sekali gus dinobatkan juara.

Lagu Cinta Teragung ciptaan Kuncidemak membawa tuah buat Hazama dan lagu itu berjaya ke peringkat separuh akhir Juara Lagu ke-26 bersama Pokok tetapi gagal ke Anugerah Juara Lagu 26.

Album pertama Hazama, Penglipur Lara berada di pasaran pada 2013. Sejak itu Hazama mendaki satu demi satu anak tangga untuk dikenali. Apabila kini bergelar penyanyi dikenali, Hazama memasang impian pula untuk berduet dengan idolanya.

Penghujung tahun lalu, impiannya menjadi nyata apabila buat kali pertama berpeluang mengadakan ‘showcase’ solo di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur.

Bertemakan Hazama The Penglipur Lara, dia sangat gembira dan teruja apabila Zamani sedia menyambut lamarannya untuk menjadi penghibur jemputan pada malam itu.

Hazamai akui hilang kekuatan menyembunyikan perasaan gembiranya pada malam itu.

“Bayangkan saya mula menyanyi pada 2004 tetapi tidak pernah berpeluang berkongsi pentas dengan Zamani. Apabila dia menerima jemputan saya, sudah pasti saya sangat gembira.

“Berada dalam industri sama, saya tidak lagi perlu bersusah payah untuk mengetuk pintu rumahnya. Malah saya juga menjadi penyanyi jemputan ketika Konsert Kurnia Slam. Ini antara kenangan manis yang saya tidak dapat lupakan,” katanya.

Mula mengenali Slam sejak 1994, Hazama memiliki semua album Slam. Bermula dengan album Slam pada 1993, album kedua, Kesan Terbukti (1995) benar-benar membawa tuah buat Slam apabila lima lagu mendapat sambutan, Kembali Terjalin, Tak Mungkin Berpaling, Nur Kasih dan Bukan Niat Membalas Derita. Slam juga dikenali hingga ke Indonesia.

Kata Hazama, walaupun terpaksa mengikat perut dia sanggup mengumpul wang saku sekolah demi memiliki album Slam.

Baru-baru ini Hazama dan Zamani digandingkan bersama dalam program HotKool Mash Up dan itu kali ketiga mereka bekerjasama. Ternyata gandingan mereka mendapat undian yang tinggi.

Kini popular menerusi lagu Di Amaran Mama (OST #AssalamualaikumCinta), Hazama memasang impian baharu iaitu menghasilkan lagu duet bersama Zamani.

Katanya, apapun kontroversi yang melanda idolanya, dia menyanjung tinggi bakat Zamani dan menjadikannya sebagai pemyemarak semangat untuk terus cekal menghadapi ranjau anak seni.

“Kalau ada peluang, memang saya mahu menghasilkan lagu duet bersama Zamani dan kini sedang mempertimbangkan perkara itu. Saya harap dapat mencapai impian untuk berduet bersama Zamani pula selepas ini,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post