VOKALIS kumpulan Wings, Awie bersama isterinya, Sharifah Ladyana.
Vokalis kumpulan Wings, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 48, menegaskan dirinya melangsungkan perkahwinan ketiga di Songkhla, Thailand, dengan tujuan merapatkan hubungan bersama warisnya di selatan negara itu.
Beliau turut mengakui, perkahwinan terbabit diadakan di sana berikutan urusannya lebih mudah.
"Kita hendak membina masjid, hendak mengelak perkara yang tidak elok, bukannya hendak mencari masalah," katanya sambil memberitahu, urusan berikutnya akan diserahkan kepada mahkamah di negara ini untuk menentukannya.
Awie berkata demikian ketika mengulas mengenai pemilihan Songkhla sebagai lokasi pernikahannya bersama Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin di Masjid Sultan Sulaiman di Songkhla, Thailand pada 7 Oktober lalu.
Sementara itu, berhubung permintaan dirinya mengemukakan bukti membabitkan salasilah keluarganya yang didakwa berketurunan Raja Siam, penyanyi rock terbabit menegaskan beliau tidak perlu berbuat demikian.
Menurutnya, beliau hanya mengkaji mengenai keturunan keluarganya adalah untuk pengetahuan anak cucunya, suatu hari nanti.
Bahkan kata Awie, beliau tidak menyangka kenyataannya sebelum ini diperbesar-besarkan oleh sesetengah pihak.
"Saya terlepas cakap apabila ada yang bertanyakan mengenai pernikahan saya di Songkhla, Thailand.
Saya adalah berketurunan Raja Singgora dari Siam dan bukannya Raja Siam.
Jadi, tidak perlu perkara itu diperbesarkan lagi," katanya ketika ditemui pada majlis Perasmian Centre Onexox Al Pamalo One Legacy di sini, malam ini.
Kata Awie, sudah empat tahun beliau membuat kajian mengenai salasilah keluarga bagi mengetahui keturunannya, untuk makluman zuriat beliau.
"Tidak perlu saya mengemukakan bukti kerana siapa mereka untuk mempersoalkan perihal keluarga saya? Kajian mengenai salasilah keluarga dibuat sejak empat tahun lalu, supaya anak, cucu dan cicit saya tahu keturunan mereka.
"Saya yakin kerana kajian ini membabitkan banyak pihak bersama saya.
Namun, tidak perlu saya menggembar-gemburkan kajian berkenaan untuk tatapan umum," katanya.
Sebelum ini, Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah, Datuk Dr Wan Shamsudin Mohd Yusof, menerusi satu laporan akhbar meminta Awie mengemukakan dokumen salasilah keluarga bagi membuktikan dakwaan dirinya berketurunan Raja Siam bernama Raja Sulaiman.