Amyra Rosli gementar hitung hari bahagia


AMYRA optimis tentang masa depan karier selepas bergelar isteri kepada Amar Baharin kelak.

BerbaKI dua minggu sebelum disatukan sebagai suami isteri dengan pelakon, Amar Baharin pada 11 November nanti, hati Amyra Rosly kini berbunga debar dan teruja menanti tarikh berkenaan.

Ditemui pada sidang akhbar Anugerah Melodi di ibu negara baru-baru ini, anak kelahiran Kuala Lumpur itu mendedahkan, hampir 95 peratus persediaan majlis perkahwinan sudah selesai.

Dalam masa yang sama, Amyra atau nama sebenarnya, Nur Amira Izzati Rosli, 25, yang tercalon dalam kategori Personaliti Drama Melodi pada anugerah yang bakal berlangsung pada 10 Disember depan itu sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai isteri.

Dalam kesibukan menjelang hari bahagia, kerjaya pelakon drama Suamiku Encik Sotong itu tetap berjalan seperti biasa. Dia kini masih meneruskan penggambaran drama Isteri Tuan Ihsan di Dubai bersama Aaron Aziz.

Mengakui gementar, Amyra mendedahkan, sejak akhir-akhir ini dia jarang keluar ‘berdating’ dengan Amar, sebaliknya hanya berjumpa atas urusan kerja dan persediaan perkahwinan memandangkan mereka di bawah syarikat pengurusan yang sama.

Kosmo!: Tarikh pernikahan Amyra dan Amar sudah semakin dekat, bagaimana dengan persediaan setakat ini?

Amyra: Alhamdulillah. Banyak yang sudah selesai. Setakat ini, semuanya berjalan dengan lancar. Walaupun sibuk dengan persiapan perkahwinan, saya tetap bekerja seperti biasa. Amar juga begitu, dia masih sibuk dengan penggambaran drama.

Daripada segi mental, saya banyak bertanya kepada ibu, dia banyak memberikan nasihat dan dorongan untuk berdepan dengan realiti sebagai isteri tidak lama lagi.

Tinggal dua minggu sahaja lagi sebelum hari pernikahan tetapi anda masih sibuk dengan penggambaran, adakah anda langsung tidak berasa risau?

Saya memang tiada masa untuk berehat. Selepas ini saya akan menjalani penggambaran di Dubai pula. Saya yakin tidak mempunyai masalah untuk mengharungi kesibukan yang berpanjangan. Insya-Allah, selepas kahwin nanti, saya akan lebih mahir membahagikan masa antara kerjaya dan peribadi. Walaupun sibuk, saya tetap memastikan segala hal dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin.

Adakah anda memang mahu pulun segala peluang sebelum bergelar isteri orang?

Bukan begitu, saya memang sudah terikat dengan komitmen kerja. Alhamdulilah, Amar seorang yang sangat memahami dan banyak memberi semangat kepada saya. Semua ini adalah rezeki sebelum kahwin.

Dalam tempoh sebelum bergelar suami isteri, adakah anda dan Amar memang ‘berpantang’ daripada keluar bersama?

Sebenarnya memang kami jarang bertemu kerana sibuk dengan jadual kerja tetapi demi persiapan perkahwinan, kami kena berjumpa tetapi hanya membincangkan soal persediaan perkahwinan, bukannya keluar untuk seronok-seronok.

Semua sedia maklum bahawa sebelum ini anda pernah hampir berkahwin tetapi dibatalkan atas sebab tertentu. Bagaimana anda mengatasi kenangan pahit tersebut menjelang hari perkahwinan nanti?

Saya tidak pernah menyimpan perasaan negatif dalam diri. Saya tetap bersikap positif dan tidak mahu pandang ke belakang. Insya-Allah, saya akan tabah menjalani segala dugaan. Orang kata, fasa bertunang adalah tempoh yang paling mencabar. Alhamdulillah, buat saya dan Amar segalanya baik-baik sahaja.

Perasaan saya sekarang tidak tergambar. Memang gemuruh sehinggakan setiap hari saya pandang kalendar hitung hari demi hari. Selepas ini, kalau sudah sah sebagai suami isteri, pasti banyak perkara akan berubah.

Adakah selepas kahwin anda akan memperlahankan kerjaya seni?

Amar tidak pernah menyekat kerjaya seni saya. Dia sangat menyokong dan memahami kerjaya saya kerana dia juga berada dalam bidang yang sama. Soal memperlahankan karier atau tidak, itu bergantung juga kepada rezeki selepas kahwin. Sebenarnya, sudah ada beberapa projek sudah menanti selepas majlis perkahwinan selesai.

Dengar cerita anda dan Amar akan berduet dalam sebuah lagu, boleh kongsikan hal tersebut?

Ya, kami sudah selesai proses rakaman sebuah lagu. Kalau tiada aral melintang, selepas kahwin nanti ia akan dilancarkan. Setakat ini, lagu berkenaan masih belum ada tajuk tetapi ia sebuah lagu balada berunsurkan cinta.

Post a Comment

Previous Post Next Post