Alif teruja bakal cipta lagu untuk Ziana Zain.
Penyanyi dan komposer Alif (Sleeq) memberitahu teruja dan tidak mengjangkakan lagu ciptaannya diterima untuk dijadikan sebagai single terbaharu penyanyi popular Ziana Zain.
Alif atau nama sebenarnya Alif Abdullah, 27, berkata, hasrat untuk bekerjasama dengan penyanyi legenda itu dicetuskan oleh arwah ibunya Maria Salim yang meninggal dunia 16 Februari lalu.
"Saya sungguh teruja untuk bekerjasama dengan seorang penyanyi yang saya anggap legenda iaitu Ziana Zain untuk single terbaru beliau akan datang.
"Idea untuk bekerjasama dengan penyanyi ini ialah hasrat arwah ibu yang mahu saya mengenali mereka yang berbakat besar dalam industri," ujarnya kepada mStar Online.
Ziana Zain
Alif berkata, bagi menunaikan hasrat ibunya itu, dia berusaha menghubungi beberapa artis legenda dan ternama yang berminat untuk menyanyikan lagu ciptaannya.
Bagaimanapun, Alif berkata perkara tersebut agak sukar berikutan genre lagu-lagu ciptaannya agak berbeza daripada genre lagu yang sering dibawakan penyanyi-penyanyi berkenaan.
"Saya ada hubungi beberapa pengurus artis seperti Ramli Sarip, Dayang Nurfaizah dan beberapa lagi tapi mereka tidak berminat kerana tidak bersesuaian dengan suara.
"Sebelum Ziana, Anuar Zain ada juga menghubungi saya untuk lagu baru tapi saya pula tidak dapat buat kerana kekurangan idea untuk menghasilkan lagu sesuai dengan suara beliau.
Alif bersama Liyana Jasmay, Jeany Amir dan Ghaz Abu Bakar.
"Iyalah, diberi kepercayaan itu bukan sesuatu yang mudah, jadi saya perlu buat betul-betul," ujarnya.
Katanya, single terbaharu Ziana Zain itu akan dilancarkan pada tahun hadapan.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Alif yang ditemui pada majlis pelancaran lagu Liyana Jasmay, berkata, lagu Oh Na Na dan Selesa Tanpa Mu tidak mengambil masa yang panjang untuk disiapkan.
Katanya, proses rakaman juga berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
"Liyana seorang yang tahu apa yang dia mahukan, ia membuatkan semuanya berjalan dengan pantas. Suara dia juga tidak banyak masalah dan mudah untuk dirakam," ujarnya.