Aeril Zafrel tiada niat menyindir


Pelakon drama bersiri Patahnya Sebelah Sayap, Aeril Zafrel, 28, menafikan tindakannya memuat naik gambar berserta status di Instagram mengajak pengikutnya mengikuti kempen #SorokRemote, minggu lalu bertujuan untuk menyindir drama bersiri Suri Hati Mr Pilot lakonan Fattah Amin dan Neelofa.

Aeril ketika dihubungi berkata, tujuannya hanyalah untuk mempromosikan drama lakonannya dengan Ummi Nazeera yang ditayangkan di TV3.

“Saya langsung tidak berniat mahu menyindir sesiapa. Ini kerana ketika saya memulakan kempen #SorokRemote itu, drama Patahnya Sebelah Sayap sudah mula ditayangkan tetapi Suri Hati Mr Pilot belum ditayangkan lagi,”katanya.

Dalam statusnya itu, Aeril mengajak pengikutnya di Instagram menyertai kempen #SorokRemote supaya dapat menonton Patahnya Sebelah Sayap dengan aman tanpa perlu menukar saluran lain.

Status yang dimuat naik iaitu “lupakan yang lain. Walaupun kita #PatahnyaSebelahSayap pastikan tetap terbang tau. Jangan ada kapal terbang tapi tak terbang-terbang pulak” dilihat seolah-olah ditujukan kepada drama bersiri Suri Hati Mr Pilot.

Aeril berkata, dia tahu setiap drama yang ditayangkan ada pengikut tersendiri dan adalah menjadi tugasnya untuk mempromosikan drama lakonannya.

“Saya memang kerap mempromosikan drama lakonan saya itu di Instagram, namun tidak pula berniat untuk menjatuhkan drama lain atau mengajak penonton supaya tidak menonton saluran lain,” katanya.

Menurut Aeril, menerusi Instagram juga, dia bukan sahaja memuat naik promosi untuk drama lakonannya, tetapi juga turut berdakwah.

“Saya tak mahu terlalu serius dengan peminat dan secara tak langsung, apabila saya tidak terlalu serius di Instagram, peminat juga senang untuk mendekati saya.

“Selain menggunakan laman sosial sebagai medium interaksi, saya juga berkongsi bahan-bahan dakwah bersama pengikut saya,” katanya.



Post a Comment

Previous Post Next Post