Syamsul Yusof nafi kejayaan Munafik dibayangi bapa


SYAMSUL YUSOF memenangi anugerah Penyunting Terbaik dan Pengarah Terbaik FFM28 selain filem Munafik diangkat sebagai Filem Terbaik Nasional.

DIANGKAT sebagai Filem Terbaik Nasional pada malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28), Munafik menjadi sebuah lagi kebanggaan Syamsul Yusof, 32, sekali gus memperkukuhkan portfolio seninya sebagai pengarah berkaliber.

Tidak hanya merangkul gelaran Filem Terbaik Nasional FFM28, Syamsul turut membawa pulang kejayaan peribadi sebagai Pengarah Terbaik dan Penyunting Terbaik menerusi filem Munafik.

Merupakan sebuah filem seram psiko, Munafik turut meraih kejayaan apabila turut memenangi tiga kategori lain iaitu Penataan Bunyi Terbaik, dan Pelakon Wanita Terbaik.

Dalam mana-mana pertandingan besar, setiap kemenangan pastinya mengundang perhatian. Begitu juga dengan Syamsul yang selama ini sering dikaitkan dengan bapanya, Datuk Yusof Haslam setiap kali meraih kejayaan menerusi filem yang dihasilkan.

Kredibilitinya sebagai pengarah filem yang berjaya mengaut jutaan ringgit hasil jualan tiket sering dipertikaikan apabila dipilih sebagai Pengarah Terbaik dalam dua filem arahan terdahulunya, KL Gangster dan Evolusi KL Drift 2.

KOSMO!: Tahniah atas kemenangan pada FFM28. Bagaimanakah perasaan Syamsul setelah filem Munafik berjaya membawa pulang lima anugerah?

SYAMSUL: Pertama sekali saya berasa bersyukur kepada Tuhan dan seakan tidak percaya apabila diiktiraf sebagai Pengarah Terbaik buat kali ketiga selepas Evolusi KL Drift 2 (FFM23) dan KL Gangster (FFM24). Awalnya saya menyangka ia mustahil untuk menang buat kali ketiga tetapi kuasa Tuhan, ia menjadi rezeki saya.

Mungkin juri tidak menilai berdasarkan jumlah kekerapan seseorang itu menang tetapi mereka melihat berdasarkan kualiti filem itu sendiri.

Adakah anda sememangnya menyasarkan bahawa Munafik akan diiktiraf sebagai Filem Terbaik Nasional FFM28?

Sejujurnya saya menaruh harapan agar filem Munafik berjaya merangkul anugerah tersebut. Bagaimanapun, saya faham banyak filem lain yang hebat dan mempunyai kualiti tersendiri.

Syukur sekali lagi, juri melihat kekuatan Munafik kerana ia bukan filem bernilai komersial sebagai mana biasa kerana diselitkan dengan mesej dan nilai agama.

Tidakkah anda berasa kecewa kerana Munafik tidak memenangi kategori Filem Terbaik Malaysia?

Perkara itu bukan sesuatu kekecewaan dan saya juga tidak ambil kisah kerana Munafik juga diiktiraf sebagai filem terbaik. Tambahan di Singapura, naskhah ini mendapat perhatian dengan kutipan sebanyak SGD$2 juta (RM6 juta). Selain itu, filem ini juga menjadi naskhah pertama terbitan Skop Production yang diiktiraf sebagai filem terbaik.

Bagaimanakah reaksi anda apabila filem Munafik mungkin dipertikai sesetengah pihak apabila memenangi anugerah Filem Terbaik Nasional?

Perkara sebegitu pasti berlaku tidak mengira kepada sesiapa. Jika bukan filem Munafik menang, filem yang memenangi anugerah tersebut tetap akan menerima nasib yang sama.

Bagaimanapun saya tidak mahu berlagak, apatah lagi bersikap riak mengatakan diri ini hebat.

Cuma satu persoalannya, kepada individu yang memberi kritikan atau komen negatif mengatakan Munafik tidak layak menang, di manakah kedudukan mereka sekarang?

Adakah kritikan negatif akan mengganggu perjalanan kerjaya seni anda?

Sebarang kritikan negatif tidak menjejaskan kerjaya saya kerana perkara itu telah berlaku sejak kali pertama memenangi anugerah Pengarah Terbaik FFM. Justeru, saya lebih memberi fokus dan tumpuan kepada penghasilan produk yang lebih berkualiti berbanding memikirkan sentimen negatif berkenaan.

Melihat kepada kejayaan yang diraih sekarang, adakah tanggapan negatif itu berpunca kerana anda merupakan anak jutawan filem, Datuk Yusof Haslam yang juga merupakan seorang individu berpengaruh dalam industri?

Mungkin mereka melihat dari sudut sebegitu, sekali gus menilai bahawa saya mempunyai jalan mudah menghasilkan filem. Namun, sekiranya kita sering berfikiran negatif, maka pandangan negatif juga akan timbul.

Ya, memang saya anak Yusof Haslam tetapi sekiranya tiada usaha bagaimana saya boleh berjaya? Semangat, kegigihan dan usaha adalah perkara utama.

Munafik berjaya merangkul gelaran Filem Terbaik Nasional FFM28, adakah anda berhasrat untuk menghasilkan naskhah Munafik 2?

Ya benar, namun ia masih dalam peringkat perbincangan skrip.

Post a Comment

Previous Post Next Post