Syafie Naswip meletakkan sasaran untuk berkahwin sebelum umurnya menganjak 30 tahun.
Pelakon Syafie Naswip meletakkan sasaran untuk berkahwin sebelum usianya mencecah 30 tahun.
Syafie, 24, berkata, buat masa ini fokusnya adalah untuk terus mengembangkan karier seninya dan tidak terburu-buru mencari pasangan hidup.
"Insya-Allah jika ada jodoh saya menyasarkan untuk berkahwin sebelum umur memasuki 30 tahun.
"Bagaimanapun buat masa ini belum ada calon kerana fokus saya adalah kepada kerjaya seni," katanya kepada mStar Online.
Syafie mengakui sebelum ini dia mempunyai teman wanita namun hubungan berkenaan tidak kekal lama.
Dalam pada itu, Syafie memberitahu dia bersyukur apabila segala usaha keras sebagai pelakon akhirnya mula menampakkan hasil apabila dapat membelikan sebuah rumah untuk ibu bapanya.
Katanya, dia sudah lama menyimpan hasrat tersebut namun baru kini dapat melaksanakannya.
"Alhamdulillah rezeki hasil daripada lakonan dan berkat menyimpan akhirnya dapat saya belikan sebuah rumah untuk ibu bapa," katanya.
Dalam perkembangan lain, Syafie berkata, walaupun namanya dilihat tidak begitu popular berbanding pelakon lelaki lain namun dia tidak tertekan dengan perkara itu.
Sebaliknya kata Syafie, dia selesa dengan keadaan sekarang kerana percaya populariti itu akan datang dengan sendiri.
"Saya teringat Datuk Ramli MS pernah memberitahu saya jangan fikir tentang populariti sebaliknya sebagai anak seni saya kena lakukan yang terbaik terhadap kerja dan bersikap jujur.
"Beliau juga berpesan jangan fokus kepada populariti kerana ia akan datang sendiri.
"Saya sentiasa pegang kata-kata itu dan jujurnya saya selesa dengan keadaan sekarang," katanya.