SINGLE terbaharu Ifa Raziah berjudul Terus Terang akan dirakam dalam versi bahasa Inggeris dan Indonesia.
SELEPAS berjaya memenangi anugerah Artis Versatil Popular dalam Anugerah Bintang Popular ke-29, Februari lalu, rezeki penyanyi dan pelakon Ifa Raziah semakin melimpah ruah.
Terbaharu, sempena dengan sambutan hari lahirnya yang ke-41 tahun, Ifa atau nama sebenarnya, Saripah Raziah Mustapha telah melancarkan sebuah single baharu berjudul Terus Terang.
Menariknya, biarpun masih berpaksikan irama dangdut yang amat sinonim dengan dirinya, lagu ciptaan DJ Fuzz tersebut turut disulami dengan unsur rap daripada kumpulan sedang meningkat naik, Lawa Nie Geng.
“Selepas hampir setahun menunggu lagu baharu, akhirnya single pertama saya dengan syarikat rakaman Sony Music Malaysia berjaya disiapkan.
“Saya juga terkejut dan berasa terharu kerana pihak syarikat rakaman memilih tarikh hari lahir saya untuk melancarkan lagu ini dan ia bagaikan hadiah paling bermakna buat saya,” ujarnya yang ditemui semasa pelancaran single Terus Terang di Flora Terrace, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Membuka cerita tentang penghasilan single baharu tersebut, dengan nada teruja wanita itu memberitahu, dia membuat beberapa kajian terhadap trend lagu kegemaran ramai terlebih dahulu.
Selepas itu, Ifa meluahkan hasratnya untuk melamar komposer DJ Fuzz dan meminta pencipta lagu itu menghasilkan sebuah lagu buatnya.
“Saya membuat kajian tentang pasaran semasa dan melihat ramai pendengar menggemari lagu-lagu ciptaan DJ Fuzz. Melalui bantuan rakan, saya kemudian mendapatkan nombor telefonnya dan kami pun bertemu untuk berbincang dengan lebih terperinci.
“Pada awalnya, Fuzz mengakui tidak pandai menghasilkan lagu dangdut. Bagaimanapun, hasil paduan idea kami berdua, sebuah lagu yang mengisahkan tentang percintaan dan perasaan yang dipendam berjaya dicipta,” terangnya panjang lebar.
Ditebak tentang pemilihan Lawa Nie Geng sebagai penyanyi yang akan menyampaikan bahagian rap dalam lagu tersebut, Ifa berkata, pemilihan kumpulan itu dibuat bersama-sama dengan DJ Fuzz memandangkan mereka juga terlibat dalam proses pembikinan lagu berkenaan.
Melihat kepada kesegaran gabungan idea daripada mereka, Ifa lantas meletakkan harapan setinggi gunung agar Terus Terang dapat diterima baik peminat.
“Pemilihan Lawa Nie Geng adalah atas cadangan Fuzz kerana kumpulan itu banyak membantunya dalam penghasilan lagu ini.
“Saya sangat berpuas hati dapat bekerjasama dengan Lawa Nie Geng kerana mereka bukan sahaja berbakat besar, malah tidak lokek memberi pendedahan mengenai tuntutan industri muzik ketika ini.
“Seperti yang kita tahu, banyak stesen radio tempatan sekarang sudah mula memutarkan lagu dangdut, jadi saya yakin lagu ini akan menjadi pilihan stesen radio dan diterima baik oleh pendengar,” ujarnya yakin.
Lebar sayap
Dalam keterujaan, Ifa turut berkongsi berita gembira tentang penerimaan industri muzik di Indonesia terhadap dirinya. Lebih menarik, single Terus Terang juga akan dirakamkan dalam dua versi berlainan.
“Pada bulan Oktober nanti, saya akan terbang ke Indonesia untuk merakamkan lagu Terus Terang dalam versi Indonesia. Bahagian rap juga akan dinyanyikan oleh penyanyi rap dari seberang.
“Selain itu, pihak Sony Music Australia pula berminat untuk membawa irama dangdut ini ke negara mereka, Jadi pada tahun depan, sekali lagi lagu Terus Terang akan dirakamkan, iaitu dalam bahasa Inggeris pula,” terangnya tersenyum.
Lebih menarik, Presiden Persatuan Bintang Dangdut Malaysia atau Bintang itu juga akan berada di Indonesia sehingga awal tahun depan bagi memenuhi komitmen sebagai pengulas tetap rancangan realiti dangdut Indonesia D’Academy Asia 2016.
“Saya ditawarkan untuk menjadi pengulas tetap rancangan D’Academy Asia yang akan bermula pada 23 Oktober. Rancangan tersebut akan bersiaran selama 100 episod dan dijangka habis pada awal tahun depan.
“Saya tidak sangka kedatangan Pak Ekin Gabriel selaku penerbit rancangan berkenaan pada Majlis Rumah Terbuka Bintang ketika Aidilfitri lalu adalah untuk mencari penyanyi dangdut di sini.
“Pihak Indosiar bersetuju memilih saya. Saya sangat berterima kasih kepada Suhaimi Md. Zain atau Pak Ngah dan penyanyi dangdut Singapura, Rosalina Musa yang banyak memberi sokongan dan mencadangkan nama saya kepada mereka,” ujarnya seraya menggulung bicara.