Ana Dahlia Tak Rancang Perlahankan Karier Seni Selepas Kahwin


Ana Dahlia tidak akan memperlahankan karier seninya selepas bergelar isteri kepada Mohd Ashraf Jurey Latiff.

Pelakon Ana Dahlia tidak akan memperlahankan karier seninya selepas mendirikan rumah tangga dengan anak kepada pengarah drama, Datuk Jurey Latiff Rosli iaitu Mohd Ashraf pada 31 Ogos lalu.

Ana atau nama sebenarnya Diyana Mastura Jaafar, 33, berkata, suaminya tidak menghalang dia meneruskan kariernya sebagai pelakon kerana dia sendiri terlibat dalam bidang pengarahan.

"Suami seorang yang memahami kerana kami dalam bidang yang sama tambahan pula dia faham minat dan kerjaya saya malah suami sendiri sibuk dengan penggambaran.

"Insya-Allah kami juga akan bekerjasama dalam satu projek pada Oktober depan, doakan yang terbaik buat kami," katanya kepada mStar Online.

Pasangan itu bernikah dalam satu majlis yang diadakan di Hotel Perdana Taiping, Perak pada 31 Ogos lalu selepas setahun berkenalan dan terlebih dahulu mengikat tali pertunangan pada 30 Julai lalu.


Ana bersyukur dipertemukan dengan Ashraf.

Dalam pada itu, Ana berkata, dia terbuka hati menerima kehadiran Ashraf dalam hidupnya selepas melihat sikap penyayang dan prihatin lelaki berkenaan sepanjang mereka berkenalan.

Malah dia bersyukur kerana dipertemukan jodoh dengan lelaki berkenaan dan berdoa agar perkahwinan tersebut kekal sehingga ke akhir hayat.

"Suami juga seorang yang matang dan sering bertolak ansur dalam pelbagai perkara selain memahami tambahan pula kami dalam bidang yang sama.

"Alhamdulillah Allah telah menentukan jodoh kami dan saya berjumpa dengan teman hidup dan tiada apa yang saya harapkan selain perkahwinan ini kekal sehingga akhir hayat," ujarnya.

Tambah pelakon itu lagi, dia tidak berasa fobia untuk kembali berumah tangga selepas kegagalan perkahwinannya sebelum dan menganggap perkara itu sebagai ketentuanNya.


Pasangan ini disatukan sebagai suami-isteri pada 31 Ogos lalu.

"Semua orang perlukan teman begitu juga saya, jadi buat apa saya hendak takut kerana jodoh pertemuaan itu semuanya telah diaturkan oleh Allah.

"Saya sentias mengimpikan untuk mempunyai suami dan keluarga sendiri dan apa yang terjadi sebelum ini saya ambil sebagai pengajaran dalam menjadi insan lebih baik pada masa hadapan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ana berkata, dia dan suaminya merancang untuk berbulan madu di dalam negeri seperti Pulau Pinang dan Cameron Highlands kerana masing-masing sibuk dengan komitmen kerja.

"Kami pergi dekat-dekat sahaja dahulu kerana selepas Hari Raya Haji nanti kami kembali sibuk dengan kerja masing-masing.

"Insya-Allah jika ada rezeki kami rancang untuk melawat tempat menarik tetapi buat masa ini berbulan madu dalam negara sahaja," katanya yang baharu sahaja selesai menjalani penggambaran drama berjudul Cinta PHD.

Perkahwinan ini ialah yang ketiga buat Ana Dahlia.

Post a Comment

Previous Post Next Post