Super Spontan Superstar lebih hangat


PROGRAM realiti komedi spontan popular, Super Spontan kembali dengan musim terbarunya, menampilkan 16 bintang yang tidak asing lagi.

Lebih istimewa tahun ini, dua personaliti media sosial terkenal bakal menghangatkan gelanggang dan memberi saingan hebat kepada selebriti dan pelawak popular tanah air.

Masih mengekalkan format asal, program realiti Super Spontan Superstar bakal bersiaran secara langsung dari Pusat Kebudayaan & Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (UPM), Serdang pada setiap Jumaat, jam 10 malam mulai 5 Ogos 2016 secara eksklusif menerusi Astro Warna (Saluran 132) dalam pakej Mustika dan ditayangkan serentak di Mustika HD (Saluran 134).

Ketua Pengisian dan Saluran Komedi Astro, Bob Azrai berkata, Super Spontan tahun ini membawakan barisan pelawak dan selebriti pujaan tanah air serta turut menampilkan personaliti media sosial popular ke dalam skuad Super Spontan Superstar.

"Kebolehan mereka menampilkan pelbagai idea menarik di akaun media sosial masing-masing amat sesuai digabungkan dengan permainan yang bersahaja, menarik dan mencuit hati.

"Melihatkan sambutan yang diterima program ini dari tahun ke tahun, kami sentiasa cuba mencari kelainan dan pemilihan karakter peserta yang penuh variasi ini menjanjikan satu pertarungan yang cukup hebat bila mana idea serta kebolehan 16 individu berbeza disatukan di atas pentas Super Spontan Superstar.

"Tentunya musim kali ini akan bertambah meriah dengan kehadiran personaliti media sosial, Zukiee dan Jamal yang mempunyai pengikut tersendiri di dunia maya," katanya yang masih meneruskan konsep berhibur sambil beramal.

Selain Zukie dan Jamal, ia turut diserta Johan Raja Lawak bersama isterinya, Ozlynn di samping Kamal Adli, Julia Ziegler, Altimet, Waris, Amyza Adnan.

Mereka akan melontarkan idea bernas masing-masing bersama-sama barisan pelawak negara yang cukup dikenali iaitu Abam Bocey, Fad Bocey, Achey, Tauke, Syuk Joras, Ali Puteh dan Zulin Aziz.

Seramai 16 selebriti ini akan dipecahkan kepada dua kumpulan iaitu Harimau Hipster ataupun Monyet Mafia, di mana Johan Raja Lawak dan Tauke Raja Lawak dipilih memimpin barisan peserta yang lain.

Datuk AC Mizal sekali lagi dipilih mengemudi program ini ditemani pelawak genit, Amir Raja Lawak yang akan muncul menghangatkan suasana selaku pengacara bersama.

Pelopor komedi tanah air, Adflin Shauki pula bakal memegang amanah selaku komentator, berpasangan dengan seorang selebriti jemputan yang akan diundang setiap minggu bagi melontarkan komen-komen bernas tentang persembahan peserta yang bertanding. Juara Super Spontan Superstar akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM100,000. Manakala Naib Juara dan pemenang tempat ketiga masing-masing akan memenangi RM50,000 dan RM25,000.

Sementara pemenang tempat keempat, kelima dan keenam turut membawa pulang wang tunai RM5,000 setiap seorang.

Post a Comment

Previous Post Next Post