
Pada usia 40 tahun dan kini hidup solo selepas bercerai, Maya tidak melihat perkahwinan satu keutamaan.
SELEPAS lama tidak membuat kemunculan dalam bidang nyanyian, penyanyi Maya Matahari yang pernah popular dengan lagu Diari Biru dan Matahari sekitar 90-an berazam untuk membuat kemunculan semula pada tahun ini. Justeru, Maya yang juga seorang pelakon itu mengambil keputusan untuk memperlahankan kerjaya lakonan bagi memberi tumpuan kepada bidang nyanyian.
Menurutnya, disebabkan aktif berlakon dan terlalu lama tidak muncul dengan sebarang lagu baharu ramai peminat terlupa bahawa dia sebenarnya seorang penyanyi. Oleh itu, apabila semakin ramai rakan seangkatan kembali aktif menyanyi menerusi beberapa program televisyen dan radio, Maya melihat ia satu peluang yang cerah untuknya kembali aktif seperti dahulu.
Meskipun tidak bergelar juara dalam program Super Karoks anjuran stesen radio Kool FM baru-baru ini, Maya atau nama sebenarnya Mayanaliza Ruslee kekal positif untuk meneruskan perjuangan dalam bidang nyanyian.
Selain kisah kerjaya, penyanyi berusia 40 tahun itu juga berkongsi tentang isi hatinya sejak bercerai dengan bekas suami, Tengku Shahreza Tengku Abdul Aziz pada tahun lalu.
KOSMO!: Sejak kebelakangan ini nampaknya Maya kembali aktif menyanyi. Adakah anda mahu membuat kemunculan semula?
Maya: Memang benar, tahun ini saya merancang untuk membuat kemunculan semula dan kembali fokus kepada bidang nyanyian. Tambahan, sejak kebelakangan ini, semakin ramai penyanyi 90-an dan 80-an muncul kembali dan diterima ramai, jadi saya rasa sekarang masa yang tepat untuk kembali mengorak langkah dalam industri muzik.
Adakah anda akan menyertai pertandingan realiti di televisyen seperti Gegar Vaganza musim ketiga untuk kembali popular?
Sebenarnya tahun lalu, saya telah menghadiri uji bakat program berkenaan. Namun, waktu itu mungkin belum ada rezeki. Andai, tahun ini berpeluang untuk bertanding dalam program tersebut saya tidak menolak dan telah bersedia.
Bagaimana pula dengan kerjaya lakonan anda?
Saya tidak nafikan sebab terlalu aktif berlakon sebelum ini sampai ada peminat terlupa bahawa Maya asalnya seorang penyanyi. Disebabkan itu, sudah setahun lebih saya tidak mengambil tawaran lakonan demi memberi laluan kepada nyanyian. Selain jadual padat, saya juga perlu membahagi masa untuk menjaga ibu yang tidak sihat.
Maksudnya kini Maya menjaga ibu sepenuh masa?
Saya menjaga ibu bergilir-gilir dengan adik. Ibu, Kasmah Daud kini berusia 64 tahun telah diserang angin ahmar ringan pada tahun lalu. Meskipun hampir sembuh, tetapi ibu masih memerlukan bantuan untuk berjalan di samping menghidapi penyakit lain seperti kencing manis dan matanya tidak berapa terang kerana masalah katarak. Oleh sebab itu, ibu memerlukan perhatian penuh kerana doktor menasihatkan supaya tidak banyak bergerak dan membuat kerja rumah.
Selepas bercerai, adakah Maya telah menemui pengganti?
Pengganti belum ada sebab saya fokus kepada kerjaya dan ibu sahaja buat masa ini. Walaupun begitu, hati saya terbuka untuk berkawan dengan sesiapa sahaja bagi mengisi ruang dan masa. Namun, pada usia 40 tahun, bukan masanya untuk bercinta seperti dahulu, sebaliknya saya perlu lebih berhati-hati dan mencari lelaki yang bertanggungjawab serta matang.
Disebabkan usia semakin lanjut, adakah anda mahu segera berkahwin?
Setakat ini saya tidak mempunyai hubungan yang serius dengan mana-mana lelaki. Saya harus percaya pada jodoh dan ketentuan Allah. Soal perkahwinan bukan perkara mainan dan tidak boleh tergesa-gesa walaupun usia saya sudah 40 tahun. Perkahwinan bukan perkara utama, sebaliknya saya melihat keutamaan adalah terletak pada ibu. Saya tidak salahkan takdir, sebaliknya melihat apa yang berlaku sebagai anugerah. Disebabkan tidak bersuami dan ada anak, saya dapat menjaga ibu sepenuhnya. Allah itu Maha Adil, jadi reda dengan segala ketentuannya.