Rosyam Nor dilamar kerana Kabali


SEJAK mula ditayangkan di pawagam seluruh dunia pada 22 Julai lalu, filem Kabali mencetus fenomena tersendiri, selain turut menimbulkan kontroversi perkauman.

SAMBUTAN hangat yang diterima masyarakat terhadap filem aksi Kabali sememangnya menggalakkan. Sejak ia ditayangkan dalam versi Tamil pada 22 Jun lalu, filem lakonan bintang terkenal dunia, Rajinikanth itu menjadi fenomena.

Aktor popular, Datuk Rosyam Nor yang terlibat secara langsung dalam pembikinan filem itu ternyata teruja kerana projek besar tersebut telah membawa perubahan dalam aliran carta karier seninya.

KOSMO!: Sejak ditayangkan di negara ini, filem Kabali menerima pelbagai komen daripada peminat. Sebagai salah seorang pelakon tempatan yang terlibat dalam pembikinannya, apakah perasaan Rosyam melihat sambutan menggalakkan seperti ini?

ROSYAM NOR: Alhamdulillah, secara jujurnya saya sangat teruja kerana peminat rata-ratanya suka dengan filem tersebut.

Sebelum ia ditayangkan lagi, peminat sudah mula bercakap tentangnya kerana mereka sendiri tidak sabar untuk menonton filem lakonan bintang pujaan mereka, Rajinikanth.

Selaku anak tempatan yang diberi peluang muncul dalam filem ini, ia menjadi tanda aras yang baharu kepada industri perfileman negara kita.

Boleh komen sikit berkenaan kritikan penonton yang mengkritik kemunculan anda sebagai watak tempelan dalam filem Kabali?

Saya tidak marah atau terguris dengan perkara itu memandangkan ia hanyalah pendapat daripada masyarakat yang menjadi penonton. Apa yang saya boleh katakan, kritikan itu tanda mereka sayangkan saya.

Mereka sudah terbiasa dengan karakter besar yang selalu saya galas dalam banyak filem tempatan sebelum ini. Harus diingatkan bahawa bintang utama filem itu adalah Rajinikanth, bukannya saya.

Malah, semasa mengumumkan terlibat dalam filem ini, saya tidak pernah menyentuh tentang sebesar mana watak melainkan hanya berkata saya teruja kerana terpilih sebagai salah pelakon.

Mungkin sebab itu mereka menganggap kemunculan saya hanyalah sekadar watak tempelan. Apa pun yang dikatakan oleh mereka, saya tidak marah kerana mereka berhak berkata apa sahaja.

Apa yang penting adalah pengalaman yang saya dapat sepanjang berlakon di samping bintang terkenal dunia.

Walaupun sedikit tetapi secara peribadi, ia adalah pencapaian membanggakan dalam profil kerjaya seni saya.

Jadi, apakah impak positif yang anda terima selepas muncul dalam filem Kabali?

Perkara pertama yang saya sedar ialah kewujudan peminat baharu dalam kalangan kaum India. Sejak media melaporkan saya terlibat dalam filem itu, ramai peminat kaum India mula mengikuti saya di laman sosial dan ini menunjukkan perkembangan positif, bukan sahaja kepada karier saya, bahkan untuk industri juga.

Perkara kedua ialah potensi untuk mengembangkan sayap ke pasaran luar negara. saya sangat teruja untuk berkongsi perkara ini bersama peminat.

Sebelum tayangan filem versi asal pada 22 Julai, saya ada menerima tawaran daripada sebuah syarikat produksi di India untuk sebuah filem.

Alhamdulillah, ia bertitik tolak daripada kemunculan saya dalam Kabali.

Jika boleh anda kongsikan sedikit mengenai tawaran itu?

Watak yang ditawarkan adalah antagonis dan ia merupakan filem seram berjudul House Next Door. Jika tiada kekangan dan jadual saya tidak padat, kemungkinan saya akan mula turun ke lokasi pada bulan September depan.

Buat masa sekarang, saya tidak boleh bercakap lanjut mengenainya sebab saya sendiri pun masih belum menandatangani sebarang dokumen tawaran tersebut.

Apa pun, semuanya bergantung pada jadual saya kerana sekarang saya sibuk mengendalikan sebuah program realiti. Saya sudah katakan kepada mereka bahawa saya tidak boleh terlibat dengan penggambaran pada hari Sabtu dan Ahad sahaja. Jika ia sudah tertulis rezeki saya, insya-Allah nanti saya akan kongsikan.



Post a Comment

Previous Post Next Post