Rezeki selepas berkahwin, Akim & Stacy semakin sibuk


SEJAK mendirikan rumah tangga, pasangan Akim dan Stacy semakin dihujani pelbagai tawaran. Paling menyeronokkan bagi pasangan ini apabila tawaran itu membabitkan mereka berdua.

Sejak bernikah pada 5 Februari lalu, rezeki kedua-dua bintang kelahiran Akademi Fantasia ini mencurah-curah, ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.

Menurut Akim, sejak melayari bahtera rumah tangga, dia dan isterinya sudah ditawarkan untuk menjadi duta produk tiga syarikat.

“Alhamdulillah, saya dan Stacy sangat bersyukur kerana dipilih kesemua syarikat ini untuk menjadi duta produk mereka.

"Terbaru, kami dipilih menjadi duta produk Yeo’s Yogurt,” kata Akim kepada Zass.

Menurutnya, jadual mereka sangat padat sehingga hujung tahun ini dan tidak mempunyai masa lapang untuk melakukan hal peribadi.

“Dalam minggu ini, dua hari berturut-turut kami menyertai sesi fotografi untuk mempromosikan produk. Jadi, nak ambil gambar untuk dimuat naik ke Instagram pun tak sempat.

“Tetapi, kami sangat bersyukur dengan limpahan rezeki yang dikurniakan ALLAH SWT dan kami akan melakukan tugasan yang diberikan sebaik mungkin,” katanya sambil ketawa.

Meskipun sibuk dengan komitmen menjadi duta produk, tegas Akim, perkara ini tidak sesekali memperlahankan kariernya sebagai seorang pemuzik.

Katanya, dia bersama bandnya, Akim & The Majistret akan mengeluarkan single terbaharu bertajuk Lygophobia pada September ini.

“Lagu ini akan turut dimuatkan di dalam filem terbitan Astro Shaw, Bisik Pada Langit yang diarahkan oleh Kabir Bhatia. Filem ini turut akan ditayangkan pada bulan sama.

“Lyghophobia bermaksud fobia kepada kegelapan dan lagu ini kena dengan jalan cerita filem ini,” katanya.

Tambah Akim lagi, kumpulannya sedang dalam rangka mempromosikan satu lagi single iaitu Hanya Padamu, yang dicipta komposer, Sham Kamikaze.

Merupakan lagu istimewa bagi Akim & The Majistret kerana ia mempunyai identiti berbeza berbanding lagu-lagu yang pernah dibuat kumpulan itu sendiri.

“Ia adalah sebuah lagu berkonsepkan ketuhanan. Saya cakap lagu ini berlainan daripada lagu kami sebelum ini kerana lagu ini mempunyai kiraan rentak muzik yang berbeza.

“Secara kebetulan, lagu ini keluar selepas tiga ahli kumpulan Akim & The Majistret pulang daripada mengerjakan umrah. Walaubagaimanapun, kami akan buat lagu yang lebih rancak selepas ini,” katanya.

Akim & The Majistret akan mengadakan persembahan di Dewan Filharmonik Petronas, Februari tahun depan.

Sementara itu, bagi Stacy pula, kesibukannya dengan pelbagai komitmen sedikit sebanyak menjejaskan persiapannya untuk merekodkan lagu dan album baharu.

“Selepas lagu Romeo, saya sepatutnya muncul dengan single dan album terbaharu pada tahun ini, namun apakan daya saya.

“Sesi rakaman lagu baharu tertangguh kerana komitmen saya menjadi duta produk. Jadi, saya pun tak pasti sama ada bila album baru saya akan keluar,” katanya.

Ditanya mengenai lagu duet bersama, kata Stacy, mereka sudah merakamkan sebuah lagu duet, tetapi tidak mahu mengeluarkan lagu tersebut pada masa terdekat.

Jelasnya, mereka melakukan tindakan sedemikian memandangkan lagu duet mereka menjadi duta produk yang sedang berkumandang.

“Kami tidak mahu lagu ini bertindih dengan lagu promosi produk yang dinyanyikan oleh kami. Kami merancang untuk mengeluarkan lagu duet ini semasa sambutan ulang tahun pertama perkahwinan.

“Jadi, sekurang-kurangnya, ada lagu yang akan menjadi titip kenangan pada sambutan tersebut,” katanya.

Semakin bahagia

Dalam pada itu, Akim melahirkan rasa bahagia dan bersyukur kerana memilih Stacy sebagai wanita yang menemaninya sehingga akhir hayat. Dia akan sedaya upaya untuk membahagiakan dan menjaga hati isterinya.

“Saya sangat berharap dapat membawa isteri untuk mengerjakan umrah secepat mungkin. Saya harap, peminat doakan hajat saya ini,” katanya.

Pada tahun ini, mereka berdua menyambut awal Syawal di kampung halaman Akim di Johor selama seminggu.

Dalam tempoh tersebut, pasangan ini tidak mengambil sebarang tawaran kerja demi fokus untuk berhari raya bersama keluarga.

Stacy berkata, sebelum mendirikan rumah tangga, sudah tiga tahun Akim membawanya beraya di Johor.

“Dahulu sebelum kahwin, saya tengok sahaja Akim bersalam dengan keluarganya dan terfikir mengapa berbuat demikian.

“Tetapi, apabila menyambut Aidilfitri sebagai seorang isteri, saya berasa seronok semasa bersalaman dengan mertua dan keluarga Akim,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post