
BUKAN mahu menuduh semberono, tapi jika sesetengah selebriti lain seolah mencari publisiti untuk menaikkan nama di dalam industri, tidak dengan pelakon yang bakatnya digilap menerusi program Pilih Kasih ini.
Bahkan wanita berusia 28 tahun ini juga tidak selesa apabila ditanya mengenai kisah peribadinya.
Akui Reen Rahim atau nama sebenarnya Noreen Ashikin Rahim, dia tidak mahu menjadikan kisah peribadinya sebagai 'bahan' menaikkan namanya di dalam industri.
Bahkan dia merasakan tidak manis untuk bercakap tentang sesuatu hubungan yang masih belum pasti.
"Selagi belum sarung cincin oleh mana-mana lelaki bernama suami, biarlah orang mengenali saya kerana lakonan saya dan bukannya kisah peribadi mahupun kontroversi," jelasnya.
Ujar Reen, biarpun namanya tidak sepopular sesetengah pelakon lain, namun dia merasa bertuah kerana kelibatnya di dalam industri sudah mendapat perhatian penerbit dan pengarah filem.
Katanya, dia juga mahu membuktikan tidak semestinya seorang selebriti itu memerlukan kontroversi untuk dikenali.
"Saya sedar saya dah lama berada di dalam industri. Tapi saya rasa biarlah lambat naik daripada naik cepat dan hilang cepat. "Walaupun timbul tenggelam, tapi orang sudah mula sedar kehadiran saya dan saya tidak hanya mendapat tawaran berlakon drama dan telefilem sahaja, tetapi kini sudah mula beralih ke layar perak," katanya.
Berkongsi perkembangan terkininya, Reen berkata, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran filem KL Vampires yang turut menampilkan pelakon dari Indonesia
"Menerusi KL Vampires, saya menjadi satu-satunya manusia biasa yang juga seorang wartawan jenayah dalam mengupas kejadian-kejadian aneh yang berlaku di kawasan kediamannya.
"Saya akan bawa watak sebagai seorang wartawan dan untuk filem ini saya mengambil inspirasi karakter pelakon Angelina Jolie yang tegas dan beberapa filem lakonannya,” ujarnya
Antara barisan artis yang terlibat ialah Raja Ilya, Josiah Hogan,Aeril Zafril dan Pablo Amirul. Filem tersebut dijangka bakal ditayangkan penghujung 2016.
Selain itu, filem lakonannya, Mawar Putih arahan terakhir Datuk Rosnani Jamil akan menemui penonton mulai Khamis ini.
"Filem ini akan menyaksikan gandingan saya bersama pelakon Arja Lee dan pelakon Indonesia, Triestan Aprillian.
"Bagi saya Mawar Putih cukup istimewa buat saya kerana saya berpeluang bekerja dengan orang berpengalaman besar seperti Mak Nani dan dia banyak memberi tunjuk ajar kepada saya.
"Saya harap filem ini akan mendapat sambutan hangat apabila ditayangkan kelak," katanya.