MULA dikenali menerusi drama Eksperimen Cinta, Mira mengakui sehingga kini dia masih belum mempunyai teman istimewa.
SEJAK kehadiran pelakon Mira Filzah dalam industri hiburan tanah air pada tahun lalu, namanya antara yang sering menjadi tumpuan. Bukan sahaja mampu mencipta populariti dalam sekelip mata, bahkan pada masa sama, wanita berusia 23 tahun itu dianggap antara insan bertuah.
Mana tidaknya, dalam tempoh setahun sahaja dia sudah berjaya membuktikan bahawa dia sebenarnya mempunyai kelompok peminat tersendiri. Jika tidak, masakan dia diangkat sebagai Artis Baharu Wanita Popular menerusi Anugerah Bintang Popular dan Artis Baharu MeleTop menerusi Anugerah MeleTop Era 2016.
Justeru, menjadi individu dikenali, Mira sendiri tidak dapat lari daripada ragam yang perlu dilalui dalam dunia seni seperti artis-artis lain. Begitu juga dengan perihal gosip percintaan. Jika sebelum ini, Mira pernah dikaitkan dengan dakwaan dirinya dikaitkan mempunyai hubungan istimewa bersama pelawak popular Zizan Razak, terbaharu dia dikatakan bercinta dengan pelakon Ben Ali.
Sungguhpun begitu, pemilik nama sebenar Nur Amirah Filzah Badioezaman itu tidak cepat melatah. Dia sedar, orang keliling boleh mengatakan apa sahaja yang mereka mahu berdasarkan apa yang mereka lihat. Apa yang lebih penting katanya, dia tahu di mana letaknya status antara dia dan lelaki yang dikaitkan itu.
“Saya dengan Ben memang sudah lama berkenalan antara satu sama lain. Sebelum saya masuk dalam industri lagi, kami memang sudah berkawan.
“Lagipun Ben juga merupakan pengurus saya. Nak kata ada hubungan istimewa itu memang tidak ada. Kami sendiri tahu tahap mana hubungan kami,” jelas pelakon drama Eksperimen Cinta itu.
Bagi Mira, dia menganggap itu sebagai cerita-cerita biasa yang perlu dihadapi selagi berstatus solo. Tambahan pula kedua-dua berstatus bujang, maka dakwaan yang mengatakan mereka bercinta itu sememangnya tidak dapat lari, sementelah mereka juga kelihatan rapat.
“Saya tidak ada yang istimewa lagi. Sebelum saya masuk dalam industri ini memang pernah ada (kawan lelaki istimewa), tetapi sekarang tidak ada.
“Mungkin sebab saya ini masih solo, jadi orang cuba kaitkan dengan mana-mana lelaki walaupun hakikatnya tidak ada,” ceritanya.
Sungguhpun begitu, kata Mira, dia cukup selesa berkawan dengan Ben. Selain membincangkan hal urusan kerja, Ben juga merupakan antara kawan lelaki yang rapat dengannya untuk berkongsi cerita.
“Kalau ada apa-apa perkara yang saya mahu rujuk, saya akan cari Ben. Kalau bersembang pun kami bersembang macam kawan-kawan sahaja.
“Lagipun kalau cakap pasal kawan rapat, memang ramai terdiri daripada orang lelaki. Mungkin sebab saya lebih selesa berkongsi cerita dengan lelaki,” katanya.
Bahkan, menurut Mira, tiada apa yang perlu disembunyikan memandangkan ahli keluarga masing-masing juga tahu akan persahabatan mereka berdua.
“Keluarga saya kenal Ben sebab kami bekerja sama kan. Ibu bapa saya kalau mahu tanya pun adakalanya mereka akan hubungi Ben atau Natrah (pembantu peribadi).
“Jadi, apabila timbul gosip sebegini, kami tidak kisah. Nak kata kami rimas pun tak. Lagipun, kami rapat sebab kerja,” katanya yang kini turut bernaung di bawah syarikat pengurusan artis, Fastyle.
Dalam perkembangan lain, kata Mira, dia bakal muncul dengan drama berjudul Cik Serba Tahu bagi terbitan saluran Astro.
“Selain itu, saya juga akan mengacarakan sebuah program realiti yang akan disiarkan di TV3. Bagaimanapun, nama program itu tunggu pihak tersebut yang akan umumkan nanti,” katanya yang akan bercuti selama 10 hari di London bermula 14 Ogos ini.