Josiah Hogan Enggan Layan Pelakon Ingin Menonjol


Josiah Hogan

Pelakon Josiah Hogan memberitahu dia sering berhadapan dengan pelakon-pelakon yang bersikap ingin menonjol dan 'membunuh' dialog pelakon lain.

Josiah Padilla Hogan atau nama Islamnya Mohamad Musleh, 30, berkata, perkara itu merupakan situasi biasa dalam bidang lakonan terutama bagi pelakon-pelakon yang mahu kelihatan lebih menonjol berbanding pelakon yang turut terlibat dalam drama tersebut.

"Pada awal saya menceburkan diri dalam bidang ini saya rasa pelik juga apabila ada rakan pelakon yang sentiasa 'ingin menang' ketika melakonkan sesuatu babak, walhal bukan hero dalam drama tersebut.

"Mereka mahu nampak menonjol dengan menambah-nambah dialog sehingga membunuh karakter yang dibawa pelakon lain. Kebiasaanya kalau saya berhadapan dengan situasi ini saya akan bagi sahaja dia peluang untuk berbuat demikian," ujarnya kepada mStar Online.


Josiah Hogan bawa watak tentera dalam filem KL Vampires

Josiah ditemui pada pelancaran filem KL Vampires baru-baru ini.

Aktor berdarah kacukan Amerika-Latin ini berkata, dia enggan melayan pelakon bersikap negatif seperti itu yang hanya mementingkan diri sendiri.

"Mereka pentingkan diri sendiri dan mahu lebih menonjol jadi saya selalunya biarkan sahaja mereka menang. Sebagai pelakon sepatutnya kita bawa watak seperti yang diminta oleh pengarah.

"Janganlah cuba overshadow satu sama lain, industri hiburan ini tidak besar pun. Kalau bagus sudah tentu orang akan nampak bakat yang ada," ujarnya.

Tambahnya, dia lebih selesa berlakon dengan pelakon veteran dan pelakon baharu yang lebih menghormati watak masing-masing.

"Pelakon veteran selalunya tahu apa yang perlu mereka buat dan tidak lokek untuk berkongsi ilmu, manakala pelakon baru pula selalu ada niat untuk belajar," ujarnya.

Dalam filem KL Vampires, Josiah berkata, dia membawakan watak tentera kepada seorang ratu yang dilakonkan oleh Raja Ilya.

Katanya, filem aksi yang akan memulakan penggambaran pada hujung minggu ini juga memerlukan dia untuk berlatih seni mempertahankan diri.

Post a Comment

Previous Post Next Post