Jamilul Hayat rancang kembali aktif.
Penyanyi era 80-an, Jamilul Hayat berharap kemunculan semula dia dalam insdustri seni tanah air dapat menepis tanggapan segelintir pihak bahawa dia sudah meninggal dunia.
Jamilul Hayat atau nama sebenarnya Hayat Abdillah Mohd Ali, 55, berkata, dia menghilangkan diri hampir 20 tahun selepas terlibat dalam sebuah kemalangan jalan raya yang hampir meragut nyawanya.
"Saya terlibat dalam kemalangan jalan pada tahun 1995 dan dua minggu dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital.
"Selepas itu saya menghilangkan diri daripada industri seni.
"Ramai peminat yang tertanya-tanya tentang keadaan saya sehingga keluar berita-berita tidak sepatutnya di internet bahawa saya sudah meninggal dunia, tapi saya tiada cara untuk menerangkan kepada mereka," ujarnya kepada mStar Online.
Jamilul Hayat bakal terlibat dalam konsert Tiga Suara bersama abangnya Datuk Jamal Abdillah, Ameng Spring dan Zamani Slam pada 22 hingga 25 September depan di Istana Budaya.
Penyanyi yang popular dengan lagu Mawar Putih Tanda Perpisahan itu, berkata, dia bersyukur menerima peluang menyanyi di pentas berskala besar bersama-sama tiga penyanyi popular tanah air.
Menerusi konsert Tiga Suara, Zamani bakal bergandingan dengan Ameng, Jamal Abdillah dan Jamilul Hayat.
Katanya, ia merupakan salah satu cara untuk dia kembali berkecimpung dalam industri hiburan tanah air.
"Sudah lama saya rancang untuk kembali semua tapi tiada peluang dan sekarang adalah satu peluang yang saya tunggu-tunggu.
"Lagi pula nyanyian sudah sebati dalam diri saya dan tidak pernah berkubur biarpun saya sudah lama tidak aktif," ujarnya.
Dalam pada itu, keluarga terutama anak-anaknya antara yang memberi galakan untuk dia kembali menyanyi.
Katanya, enam anaknya mengetahui tentang kerjaya nyanyiannya empat tahun lalu menerusi internet.
"Anak-anak suka sangat kalau saya kembali menyanyi. Mereka dapat tahu saya seorang penyanyi sejak empat tahun lalu.
"Saya tidak pernah beritahu, mereka sendiri tahu selepas membacanya di internet," ujarnya.
Bercerita tentang konsert Tiga Suara, Hayat berkata, dia akan membuat persiapan dari segi stamina untuk menyanyi empat buah lagu pada malam persembahan berkenaan.
"Insya-Allah, saya akan mula berlatih dan saya yakin masih boleh membawa sepuluh lagu dalam masa satu malam itu," ujarnya.