Fara Fauzana Sahkan Bakal Berkahwin Pada 17 September


Fara Fauzana bakal menamatkan zaman bujang dengan lelaki pilihannya pada 17 September depan.

Personaliti radio dan pengacara, Fara Fauzana mengesahkan bakal menamatkan zaman solonya dengan usahawan yang dikenali sebagai Hafiz pada 17 September depan.

Fara atau nama sebenarnya Fara Fauzana Mohd Fadzli, 36, berkata, majlis pernikahan dan resepsi mereka akan diadakan di Dewan Mustapha Kamal, Neo Damansara di sini pada pukul 9 pagi.

"Alhamdulillah dengan doa dan restu daripada kedua ibu bapa serta doa rakan-rakan dan peminat, saya ingin mengumumkan saya bakal berkahwin dengan lelaki pilihan hati saya pada 17 September depan.

"Setakat ini biarlah saya kenalkan dia sebagai Hafiz sahaja dan dia seorang usahawan dan masih bujang," katanya pada sidang media khas berhubung perkahwinannya pada Isnin.


Pegangan agama dan sifat penyabar bakal suami menjadi tarikan Fara.

Terdahulu, keluarga Hafiz datang menghantar rombongan merisik Fara dalam satu majlis ringkas yang diadakan pada Februari lalu.

Dalam pada itu Fara berkata, dia berkenalan dengan Hafiz menerusi kenalannya kira-kira dua tahun lalu selepas dipertemukan dalam sebuah majlis.

Katanya lagi, dia terpaut hati dengan jejaka berusia 30-an itu kerana pegangan agama dan sifat penyabarnya selain dia seorang yang pendiam.

"Saya jika orang kenal memang suka bercakap dan personaliti kami yang berbeza membuatkan kami serasi.

"Bagaimanapun saya tertarik dengannya kerana sikap penyabar dan pegangan agama yang ada pada dirinya," jelasnya.

Bercakap mengenai majlis perkahwinannya, Fara berkata, dia dan Hafiz sepakat untuk mengadakan majlis sederhana yang dihadiri oleh keluarga dan teman terdekat sahaja.

Malah kata Fara, persiapan perkahwinannya sudah pun berjalan dan kini sudah 60 peratus siap.

"Majlis akad nikah dan resepsi hanya akan diadakan secara sederhana sahaja dan itu memang pilihan kami.

"Kami juga memilih untuk tidak bertunang dan terus bernikah," katanya.

Dalam perkembangan sama, ibu Fara iaitu Faridah Abdul Jalil, 58, yang turut hadir pada sidang media berkenaan berkata, beliau bersyukur anaknya itu akhirnya bakal menamatkan zaman solonya.

"Ibu mana yang tidak gembira dengan berita anak bakal berkahwin dan berharap semuanya akan berjalan lancar," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post