GAMBAR yang dikongsikan oleh suami Yana, Fadzil Zahari di laman Instagramnya mengenai kelahiran cahaya mata sulung mereka pada 21 Julai lalu.
MINGGU lalu, dunia hiburan negara diserikan dengan berita pengacara dan pelakon popular Yana Samsudin selamat melahirkan bayi lelaki seberat 3.37 kilogram pada tanggal 21 Julai.
Yana atau nama sebenarnya Norliana Samsudin, 32, melahirkan cahaya mata sulungnya secara pembedahan pada pukul 7.01 pagi di Pusat Perubatan Sime Darby (SDMC), Subang Jaya, Selangor.
Dia yang mendirikan rumah tangga bersama Fadzil Zahari yang merupakan adik kepada aktor Farid Kamil pada 13 Februari tahun lalu nyata teruja dengan kehadiran bayi sulung itu.
KOSMO!: Tahniah atas kelahiran zuriat Yana baru-baru ini. Boleh kongsikan apa perasaan anda bergelar ibu?
YANA: Alhamdulillah, saya dan suami sangat bersyukur kerana proses kelahiran berjalan dengan lancar. Kami masing-masing teruja dan seakan tidak percaya kerana telah bergelar ayah dan ibu sehingga menitik air mata kerana terlalu gembira dengan anugerah Allah ini.
Walaupun, saya terpaksa menahan sakit selama 16 jam sebelum selamat melahirkan secara pembedahan. Apapun, kami sangat bersyukur dan lega kerana segalanya selamat dan bayi juga dalam keadaan sihat.
Walaupun selamat melahirkan pada 21 Julai lalu, namun mengapa berita gembira tersebut dikongsikan oleh anda berdua di laman sosial hanya selepas lima hari?
Sebenarnya, keadaan pada masa itu (saat melahirkan) sangat kelam-kabut malah tarikh sebenar saya sepatutnya melahirkan bayi pada 25 Julai lalu. Disebabkan ini pengalaman pertama kami menyambut anak, jadi suami agak kekok dan sedikit huru-hara menguruskan saya dan kelengkapan hospital.
Selepas semua selesai dan saya serta anak dibenarkan pulang ke rumah, barulah suami ada masa untuk berkongsi berita gembira bersama peminat. Bukannya kami mahu buat kejutan tetapi masa tidak mengizinkan pada waktu itu.
Adakah anda sudah bersedia untuk menjalani kehidupan sebagai ibu dan bapa selepas ini?
Insya-Allah, sejak awal kehamilan lagi saya dan suami memang banyak belajar daripada ahli keluarga tentang cara menguruskan bayi. Malah, banyak bahan bacaan dijadikan rujukan selain suami belajar daripada adiknya yang merupakan seorang doktor.
Bagaimana dengan nama dan perancangan untuk mengadakan sebarang kenduri doa selamat selepas ini?
Buat masa ini, kami masih belum memutuskan nama yang sesuai untuk diberi kepada anak sulung. Semasa hamil lagi, memang kami sudah menyenaraikan beberapa nama terbaik.
Insya-Allah, apabila segala urusan berkaitan kesihatan sudah beransur pulih, baru kami akan fikirkan tentang itu. Bab untuk mengadakan doa selamat juga memang ada. Kami memang ada perancangan untuk mengumpulkan ahli keluarga sekali gus mengadakan kenduri kesyukuran atau majlis cukur jambul, tetapi masih belum ditentukan bila.
Baiklah. Bagaimana dengan perancangan karier anda selepas ini?
Saya tiada masalah untuk kembali aktif bekerja seperti dahulu, sebab suami pun tidak menghalang. Cuma, buat masa sekarang saya ingin fokus kepada proses berpantang dan perlu menjaga kesihatan dengan betul supaya cepat sembuh.
Saya merancang berpantang selama 100 hari sebab ia sangat baik untuk kesihatan dan amat digalakkan oleh orang tua. Tambahan pula, ini merupakan kelahiran pertama, jadi saya perlu lebih teliti dalam penjagaan kesihatan. Selepas itu, barulah saya boleh fikir tentang menyambung kerja.