Joe Flizzow mahu kongsi ilmu


SETIAP selebriti pasti mempunyai matlamat dalam kerjaya seni masing-masing. Tidak hanya bersandarkan pada gemerlap suluhan lampu glamor, kebanyakan anak seni yang menceburkan diri dalam bidang hiburan mempunyai sasaran tersendiri bagi memberi variasi terhadap hala tuju karier masing-masing.

Bagi penyanyi rap Joe Flizzow, berkongsi pengetahuan serta kepakaran bersama khalayak merupakan satu salah satu daripada perancangannya sebagai seorang insan seni.

Baru sahaja pulang menamatkan kursus pendek bagi program Perniagaan Muzik, Hiburan dan Sukan di Universiti Harvard di Boston, Amerika Syarikat (AS) beberapa bulan lalu, Joe atau nama lengkapnya Johan Ishak, 31, berkata, dia merancang untuk memperkenalkan sebuah program bagi membantu pemuzik amatur tempatan mengembangkan karier mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

Katanya, idea tersebut tercetus selepas melihat potensi yang bakal diperoleh menerusi penerapan pembelajaran oleh golongan profesional daripada pelbagai bidang.

“Di Malaysia, ramai pemuzik muda berpotensi yang boleh diketengahkan. Dalam masa yang sama, kemudahan pembelajaran juga banyak disediakan.

“Menerusi program ini, saya mahu berkongsi ilmu dengan mengadakan kelas ilmiah yang mampu memberi manfaat kepada penggiat muzik tempatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Apa Khabar itu menambah, dia masih belum meletakkan sasaran terhadap program tersebut memandangkan ia memerlukan perancangan yang sangat teliti.

“Saya tidak mahu terlalu cepat melaksanakan program ini kerana banyak perkara daripada pelbagai aspek yang perlu dititik beratkan.

“Begitupun, saya percaya program ini dapat membantu mengubah warna industri hiburan baik dalam bidang kreatif mahupun perniagaan,” katanya lagi.


Joe bersama LL Cool J rakan sekelas di Universiti Harvard.

Peluang

Mengulas mengenai penglibatannya dalam kursus jangka pendek tersebut, Joe berkata, perancangan ke Universiti Harvard tercetus sekitar awal tahun ini.

Mendapat sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Joe yang mewakili syarikat rakamannya berkata, dia berasa bertuah kerana dapat mengikuti program yang turut dihadiri oleh beberapa syarikat besar yang lain.

“Saya berasa bertuah kerana berpeluang menyertai program tersebut di bawah seliaan universiti terkenal. Biarpun hanya untuk tempoh 10 hari, ia telah membuka dimensi baharu buat saya.

“Insya-Allah, apa yang saya kecapi sekarang akan dimanfaatkan sebaik mungkin dan bakal dikongsikan untuk kebaikan bersama,” katanya yang terbang ke AS pada 29 Mei lalu dan kembali ke Kuala Lumpur 10 hari kemudian.

Dalam perkembangan lain, Joe berkata, dia masih menerima jemputan bagi menjayakan program motivasi yang dianjurkan oleh beberapa institusi pengajian tinggi di seluruh negara.

“Ia merupakan sebuah proses untuk berkongsi pengalaman, bukan setakat komunikasi satu hala bersama pelajar.

“Saya berharap perkongsian tersebut dapat memberi inspirasi kepada mereka dalam usaha mencapai impian dan cita-cita,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post