Dukun Doktor Dani sarat mesej, pengajaran


NAMA Sabri Yunus dalam arena seni sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Anak jati Kelantan ini juga sudah meletakkan nama dalam aras tersendiri di arena pengarahan.

Kebanyakan telefilem dan drama sentuhannya dianggap penuh magis dan digarap berbeza dengan sesetengah drama yang lebih terikat beberapa perkara lain.

Dan kini, lelaki berusia 55 tahun ini melangkah setapak lagi ke hadapan di dalam kerjaya sebagai pengarah dengan bergelar sutradara filem pula.

Meskipun terkenal dengan karya-karya berat, Sabri berkata, untuk filem pertamanya ini, dia cuba untuk menyeimbangkan penceritaan agar tidak terlalu berat atau ringan.

Dan ternyata, percubaan pertama Sabri di arena pengarahan filem komedi membuahkan hasil.

Jika sesetengah filem genre komedi lebih selesa fokus kepada hiburan semata-mata, berbeza dengan filem arahan Sabri ini yang menyulami komedi dan mesej berguna.

Pendek kata, menonton filem ini bukan hanya sekadar ketawa dan lupa, tetapi ada sesuatu untuk difikirkan dan diteladani.

Suasana cantik perkampungan yang segar dilihat banyak mencantikkan lagi filem ini.

Selain terlibat sebagai penulis skrip dan pengarah, Sabri juga turut membawakan watak Dukun Sudin di samping Taufik Batisah sebagai Dani, Fasha Sandha (Doktor Lily), Khatijah Tan (Mak Siti), Amirul Affendi (Lepat), Raysha Rizrose (Fikha), Sani Sudin (Penghulu) dan penampilan terakhir Yus Edoo (Jambu) sebagai Chot.

Ternyata pemilihan Taufik di dalam filem ini memberi satu kesegaran baharu kerana umum mengetahui Taufik adalah seorang penyanyi.

Pelakon-pelakon lain termasuk Fasha sendiri memberikan lakonan yang cukup baik dan Sabri sekali lagi berjaya mengimbangi lakonan ke semua pelakon yang terlibat.

Dan bagi mereka yang merindui keletah Allahyarham Yus Jambu, filem ini sedikit sebanyak mengubati kerinduan itu.

Dukun Doktor Dani mengisahkan tentang Dani yang membuat keputusan untuk tidak lagi menjadi seorang doktor dan kemudian dia pulang ke kampung dan bekerja dengan dukun Sudin.

Keadaan menjadi kalut apabila dukun Sudin meninggal dunia dan Dani mengambil alih tempat dukun Sudin dengan caranya sendiri. Adakah penduduk kampung boleh menerima Dani mengubati mereka? Adakah Dani akan menjadi dukun buat selama-lamanya atau dia kembali menjadi doktor? Apakah yang akan terjadi selepas itu?

Saksikan jawapannya di pawagam.



Post a Comment

Previous Post Next Post