Shiha Zikir Anggap Lebih Dikenali Di Indonesia Sebagai Rezeki


Shiha mengakui kariernya lebih menyerlah di Indonesia berbanding di negaranya sendiri. Foto Ihsan Instagram @shihazikir

Penyanyi Shiha Zikir mengakui penyertaannya menerusi program D'Academy Asia di Indonesia tahun lalu tidak memberi banyak impak kepada karier seninya di Malaysia.

Shiha atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd Zikir, 29, bagaimanapun berkata, dia tidak berkecil hati dengan situasi berkenaan sebaliknya menganggap ia berbalik kepada soal rezeki.

"Meskipun kurang mendapat tempat di negara sendiri tetapi peluang melebarkan sayap ke negara jiran adalah satu pencapaian besar buat saya.

"Ini kerana bukan mudah untuk menembusi pasaran Indonesia dan rezeki saya di negara orang," katanya kepada mStar Online.

Shiha ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya bertajuk Seperti Novel Cinta di NU Sentral di sini, Jumaat.


Shiha baharu sahaja melancarkan single terbaharunya berjudul Seperti Novel Cinta.

Komposer Ajai, Amelina, Dafi dan Fahmie Ismail turut hadir pada acara berkenaan.

Terdahulu, Shiha berjaya menduduki tempat ketiga pada pertandingan akhir D'Academy Asia yang berlangsung di Jakarta pada 29 Disember tahun lalu.

Dalam pada itu, Shiha berkata, sejak menyertai program berkenaan dia kini lebih kerap berulang-alik ke Indonesia bagi menjayakan persembahan di sana.

"Alhamdulillah banyak tawaran saya datangnya daripada Indonesia dan itu adalah rezeki saya yang telah ditetapkan.

"Saya kini lebih banyak berulang-alik ke sana setiap minggu bagi memenuhi undangan nyanyian," ujarnya.

Dalam pada itu, Shiha berkata, selepas single Seperti Novel Cinta, dia bakal muncul dengan single terbaharu bersama kumpulan D'Meisis bertajuk Jangan Bilang Sapa-Sapa.

"Peluang berkolaborasi bersama D'Meisis adalah satu peluang baik kerana mereka mempunyai kelompok peminat yang besar di Malaysia.

"Jadi secara tidak langsung kami dapat menggunakan populariti masing-masing untuk mempromosikan lagu tersebut di Malaysia dan Indonesia," katanya.

Bercerita mengenai Seperti Novel Cinta, Shiha menjelaskan ia merupakan single kelimanya hasil ciptaan sepenuhnya oleh komposer Ajai.

"Sebenarnya lagu ini telah dirakam awal sebelum saya menyertai pertandingan nyanyian D'Academy Asia.

"Namun pelancaran lagu itu terpaksa ditunda kerana menunggu masa sesuai untuk dikeluarkan," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post