Ronnie korban kerjaya demi puteri sulung


RONNIE HUSSEIN dan isterinya, Fiza bersyukur kerana selepas sembilan tahun berkahwin, mereka kini dikurniakan anak sulung, Raisya Umairah.

Tiada anugerah yang lebih terindah dalam hidup seseorang manusia melainkan bergelar ibu bapa. Begitulah rasa bersyukur penyanyi Ronnie Hussein apabila dikurniakan anak sulung, Raisya Umairah selepas hampir sembilan tahun mendirikan rumah tangga dengan isteri tercinta, Fiza Yahya.

Sebulan menggalas tanggungjawab sebagai bapa sejak puteri sulungnya itu dilahirkan pada 14 Mei lalu, akui Ronnie atau nama lengkapnya, Shahron Hussein, 35, dia berasa bahagia sehingga terpaksa menolak banyak tawaran menyanyi kerana ingin sentiasa berada di samping anaknya itu.

Walaupun kini mempunyai anak sendiri, Ronnie yang cukup dikenali menerusi lagu Dikoyak Waktu tidak melupakan tanggungjawab sebagai bapa kepada anak angkatnya, Nur Ilyana Farhana yang kini sudah berusia sembilan tahun. Dia dan isteri tidak akan sekali-kali membezakan mereka berdua dan akan membahagikan kasih sayang sama rata.

Kosmo!: Sebulan bergelar bapa, bagaimana perasaan Ronnie sekarang?

Ronnie: Alhamdulillah. Saya sangat seronok dan teruja sehinggakan tidak mampu berkata apa-apa. Bayangkan, selama sembilan tahun saya dan isteri ‘menunggu’, akhirnya Allah perkenankan doa kami. Justeru, ini merupakan satu tanggungjawab baharu dan besar buat saya untuk menjaga anak dengan sebaik mungkin.

Apa yang anda telah belajar terutama dalam hal menguruskan bayi?

Banyak perkara yang telah saya pelajari sebenarnya. Sebelum ini saya tidak tahu langsung untuk menukar lampin bayi, kini saya sudah mahir bab itu (ketawa). Saya teruja sehingga menolak banyak tawaran menyanyi kerana ingin memberi fokus menjaga anak. Oleh sebab isteri saya sibuk berniaga di bazar ramadan, saya terpaksa mengambil alih tugasnya pada waktu siang.

Sehingga kini adakah anda masih kekok menguruskan perihal bayi?

Memang kekok pada mulanya, terutama apabila dia menangis secara tiba-tiba, saya tidak tahu apa mahu buat. Kalau itu berlaku, saya serahkan sahaja kepada isteri. Namun, lama-kelamaan saya sudah semakin mengerti gaya bahasa seorang bayi kerana mereka tidak boleh bercakap. Jadi sebagai ibu bapa, kita harus memastikan keadaan bayi sentiasa berada dalam keadaan baik dengan melakukan pemeriksaan dan pemakanan yang sesuai.

Saya banyak menghabiskan masa di rumah dengan mengemas rumah dan masak untuk isteri terutama pada bulan puasa.

Baiklah, bagaimana pula dengan penerimaan anak angkat, Nur Ilyana terhadap kehadiran Raisya?

Dia semakin membesar. Kini dia sudah berumur sembilan tahun. Saya mengambil Nur Ilyana sebagai anak angkat ketika dia berusia lima tahun. Dia sudah kehilangan kedua ibu-bapanya. Saya menganggapnya seperti anak sendiri dan tiada isu membeza-bezakan dirinya dengan Raisya. Saya dan isteri akan cuba sebaik mungkin untuk membesarkan kedua-duanya dengan kasih sayang yang cukup dan adil.

Pastinya, Aidilfitri kali ini amat bermakna buat anda dengan kehadiran Raisya dan Nur Ilyana yang semakin membesar. Bagaimana dengan persediaan raya?

Alhamdulillah, jika sebelum ini bertiga, kali ini rezeki sambut Aidilfitri berempat. Sejak awal puasa sudah saya selesaikan semua persediaan raya kerana tidak suka melakukan sesuatu pada saat akhir. Kmai juga banyak dapat hadiah seperti gelang dan rantai daripada rakan-rakan untuk Raisya.

Bagaimanakah pula dengan perkembangan seni selepas ini?

Sekarang dalam promosi lagu Melangkah Laju (duet dengan Iwere). Projek solo mungkin akan dilakukan selepas raya. Buat masa sekarang, saya perlahankan sedikit aktiviti seni bagi menghormati bulan mulia ini selain sibuk menguruskan hal anak.

Post a Comment

Previous Post Next Post