Remy Ishak belum puas: Atur karier, bisnes seiring


Remy Ishak

KELIBAT figura ini di dalam industri seni sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi.

Namun sebelum mengecap populariti, dia terlebih dahulu melalui pelbagai onak ranjau dalam perjalanan untuk mencipta nama.

Bagaimanapun kini, individu yang pernah mendapat jolokan Hero Baru Malaya ini tidak perlu lagi membuktikan kemampuannya di persada seni.

Ini kerana, setiap kali tampil dengan filem mahupun drama, Remy Ishak tidak pernah gagal memberi lakonan yang berkesan.

Namun bagi Remy, dia tidak pernah berasakan setiap hasil lakonannya sempurna, bahkan menyifatkan masih belum puas dengan karier lakonannya.

Dek kerana itulah, dia belum bersedia untuk melangkah setapak ke hadapan sebagai sutradara, biarpun sudah hampir sedekad mewarnai industri seni.

"Sejujurnya saya rasa banyak lagi yang perlu saya belajar dan secara peribadi saya belum puas dengan karier lakonannya saya.

"Walaupun saya sudah mula berniaga, tapi perniagaan itu adalah sampingan selain berlakon demi mengumpul harta untuk masa depan.

"Saya tidak lihat saya sudah mempunyai segalanya kerana masih banyak lagi yang perlu saya terokai," katanya kepada Zass.

Tambah jejaka berusia 34 tahun ini, dia juga sentiasa memperbaiki diri dari semasa ke semasa.

"Tidak dinafikan, saya teringin juga untuk mengarah filem, tapi saya rasa, saya sendiri masih belum sempurna.

"Lagipun bidang lakonan masih menjadi keutamaan saya dan dalam masa yang sama, saya dapat banyak input baharu.

"Malah saya juga tidak lihat setiap karakter yang dibawa sama kerana karakter itu adalah sesuatu yang subjektif.

"Jadi biarlah saya memperbaiki diri dan penuhkan ilmu di dada sebelum melangkah ke fasa seterusnya," katanya.

Berkongsi perkembangan terbarunya, selain sibuk menjalani latihan untuk sebuah filem bersama Khabir Bhatia, Remy juga sedang menjalani penggambaran drama bersiri bersama Uqasha Senrose, Khabar Dari Casablanca.

Bukan itu sahaja, Remy juga sempat membahagikan masa menguruskan perniagaan minyak wangi jenama Rumi, sabun organik, dan terbaru, kurta.

Katanya, penglibatannya dalam bidang perniagaan bukannya mahu bersaing dengan sesiapa, namun tujuan utamanya adalah untuk menghargai sokongan peminat terhadapnya.

"Peminat sering bertanya, saya tiada barang untuk diberikan kepada mereka. Namun bukan tiada barang, tapi saya rasa, saya perlu wujudkan sesuatu agar semua dapat dan secara tidak langsung, yang bukan peminat saya pun dapat. Maka tercetuslah idea untuk mengeluarkan minyak wangi dan dalam masa yang sama, saya lihat ia mampu menjana pendapatan.

"Malah idea itu sudah pun saya fikirkan sejak dua tahun lalu dan hanya selepas melihat Rozita Che Wan menjual melalui stokis, barulah saya terfikir untuk membuatkan perkara sama. Barang-barang yang saya jual juga adalah barang sama yang saya sendiri gunakan.

"Kalau orang lihat saya mahu bersaing atau 'sapu' perniagaan mereka, baik saya ceburi segala jenis perniagaan," katanya.

Raya sederhana

Dalam pada itu, ditanya mengenai sambutan Aidilfitri tahun ini, Remy berkata, sama seperti tahun-tahun sebelumnya, dia menyambut lebaran bersama keluarga secara sederhana.

Katanya, dia akan pulang semula ke Kuala Lumpur pada petang raya ketiga.

"Tiada persiapan berlebih-lebihan dan saya sendiri tidak terfikir untuk membuat rumah terbuka kerana cuti yang pendek.

"Raya pertama biasa saya luangkan masa bersama keluarga dan saudara mara. Raya kedua bersama kawan-kawan dan raya ketiga selepas meluangkan masa bersama keluarga, saya akan pulang ke Kuala Lumpur," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post