Persediaan Sam Bunkface bergelar bapa


CAHAYA MATA - Sam tidak sabar menimang cahaya mata yang dijangka dilahirkan September depan.

TERPANCAR riak keterujaan pada wajah vokalis kumpulan Bunkface, Sam sewaktu diminta berbicara mengenai kehamilan pertama isterinya, Aida Azira Husin, 29 yang kini sedang menginjak ke usia enam bulan.

Pada getaran nada suaranya pula, terselit butir-butir bahagia, menandakan kelahiran cahaya mata pertama mereka kelak bakal memberi sinar baharu yang penuh bermakna.

Biarpun perasaan teruja dan tidak sabar sering melewati hari-harinya, namun Sam berkata, masih banyak perkara yang perlu dipelajari dan diberi perhatian, khususnya mengenai cara penjagaan bayi baru lahir.

“Sebagai pasangan suami isteri yang bakal menerima kelahiran anak buat kali pertama, banyak perkara perlu diambil kira.

“Jadi, kami perlu sentiasa bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menempuh sebarang kemungkinan,” katanya ketika ditemui pada program rakaman Muzik Muzik Raya 2016 di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pemilik nama lengkap Shamsul Annuar Mohd. Baharom, 29, itu berkata, disebabkan terlalu sibuk membuat persiapan, dia dan isteri tidak terlepas daripada merasai tekanan.

“Biasalah, pengalaman pertama. Semua perkara mahu dilunaskan mengikut apa yang dihajati.

“Tetapi, saya bersyukur kerana isteri sangat berdikari dan tidak terlalu mengharapkan saya walaupun sedang sarat mengandung,” katanya.

Sentiasa meletakkan keutamaan kepada isteri, Sam berkata, dia merancang untuk mengurangkan aktiviti nyanyian apabila usia kandungan Aida menginjak ke usia lapan bulan.

“Buat masa ini, dia masih membenarkan saya untuk bekerja. Tetapi, dalam masa sama, dia ada meletakkan syarat supaya tidak menerima tawaran nyanyian di luar ibu kota apabila sudah hampir dengan tarikh kelahiran.

“Jadi, apabila sudah tiba masa, saya akan cuba memperlahankan karier dan berjanji akan sentiasa berada bersama dengannya,” ujar Sam sambil memberitahu Aida dijangka melahirkan anak sulung mereka pada 9 September depan.

Sengaja ditanya adakah rakan sekumpulannya, Farouk Jaafar atau Youk yang mendirikan rumah tangga bersama isterinya, Alia Rosli sekitar Mac lalu bakal bergelar bapa, jawabnya: “Saya diberitahu, Alia sedang hamil tiga bulan.

“Kami tumpang gembira dengan berita tersebut. Tidak sabar rasanya untuk melihat Bunkface Junior ditubuhkan satu hari nanti,” seloroh Sam sambil berharap agar Paan, gitaris Bunkface yang bernikah pada akhir tahun lalu turut menimang cahaya mata dalam masa terdekat.

Kolaborasi

Berbicara mengenai perkembangan terkini kumpulan Bunkface, Sam berkata, setakat ini, tidak banyak perkara yang mereka terangkan.

Bagaimanapun, kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 2006 itu berkemungkinan besar bakal berkolaborasi bersama kumpulan dari seberang, Nidji menerusi lagu Kembali.

“Kami masih lagi merancang mengenai kolaborasi tersebut. Jika semuanya berjalan mengikut perancangan, kerja-kerja memproses lagu Kembali akan dimulakan tidak lama lagi,” katanya.

Kembali merupakan lagu yang dimuatkan dalam album terkini Bunkface, Malam Ini Kita Punya. Mengikut perancangan, lagu tersebut bakal disunting semula manakala beberapa bahagian mengandungi vokal Sam akan dibuang.

Fail muzik yang telah disunting akan dihantar kepada Nidji untuk diproses semula.

Menurut Sam, kumpulan Bunkface memberi seluruh kebebasan kepada Nidji untuk mewarnai lagu tersebut mengikut cita rasa dan kreativiti mereka.

“Variasi suntingan daripada kami dan Nidji akan memberi kelainan kepada lagu tersebut. Jadi, lagu Kembali akan kedengaran jauh berbeza daripada versi asal,” katanya.

Tambah Sam, dia menganggap kolaborasi ini sebagai sebuah projek besar yang memerlukan fokus dan perhatian sangat teliti.

“Kami sudah lama mengidamkan kolaborasi seperti ini, apatah lagi bersama kumpulan Nidji.

“Jadi, peluang ini akan digunakan sebaik mungkin agar apa yang diusahakan mampu memberi impak berbeza kepada peminat,” katanya yang merancang untuk memasarkan Kembali versi baharu sekitar selepas bulan Syawal tahun ini.

MIDEM 2016

Selain bercerita mengenai perasaan teruja bergelar bapa dan projek kolaborasi bersama kumpulan Nidji, Sam turut berkongsi tentang pengalamannya bersama Youk dan Paan yang menyertai delegasi Malaysia bagi mewakili negara ke Marché International du Disque et de l’Edition Musicale (MIDEM) di Cannes, Perancis pada 3 hingga 6 Jun lalu.

Pertama kali melibatkan diri dalam acara perniagaan muzik dan produksi audio terbesar di dunia itu, Sam berkata, peluang terhidang digunakan sebaik mungkin Bunkface meluaskan rangkaian dengan syarikat besar dalam industri muzik antarabangsa.

“Kami pergi ke sana bersama delegasi lain yang diuruskan oleh Recording Industry Association of Malaysia (RIM). Biarpun tiada sebarang urusan jual beli atau kolaborasi dilakukan, namun, kami ada berkenalan dengan beberapa syarikat yang terlibat dengan pembikinan muzik.

“Justeru, ia akan memudahkan usaha kami jika Bunkface mahu memasarkan muzik di peringkat global pada masa akan datang,” tutupnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post