Giliran Paperplane Pursuit ke MIDEM


Kumpulan indie, Paperplane Pursuit kini menimba pengalaman di luar negara dengan menjadi salah satu delegasi Malaysia ke festival muzik, MIDEM di Cannes, Perancis.

KETIKA artikel ini ditulis, tiga orang anak muda yang menganggotai band Paperplane Pursuit barangkali sedang merasai rasa teruja yang luar biasa.

Masakan tidak, band indie yang dihidupkan oleh John Oommen (vokalis), Andrew Yap (dram) dan Isaac Ravi (gitaris) itu terpilih untuk menyertai delegasi Malaysia bagi mewakili negara ke Marché International du Disque et de l’Edition Musicale (MIDEM) di Cannes, Perancis bermula 3 hingga 6 Jun ini.

John yang mewakili Paperplane Pursuit berkata, mereka teruja kerana dapat merasai sendiri pengalaman menyertai acara perniagaan muzik dan produksi audio terbesar di dunia yang diadakan secara tahunan itu.

“Pada tahun-tahun sebelum ini, kami hanya mendengar dan melihat kejayaan artis lain yang dipilih untuk mewakili Malaysia.

“Justeru, ketika diberitahu mengenai pemilihan kami ke MIDEM sekitar Februari lalu, saya dan ahli kumpulan lain berasa sangat gembira. Ini merupakan antara berita paling baik yang pernah kami dengar,” katanya ketika ditemui pada majlis taklimat media bersama wakil Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut John, penglibatan Paperplane Pursuit dalam acara tersebut bakal membuka pintu yang lebih besar buat mereka mempersembahkan muzik tempatan di peringkat antarabangsa.

“Ini merupakan peluang yang terbaik buat kami untuk mempersembahkan muzik Paperplane Pursuit di sana.

“Memandangkan MIDEM merupakan platform perniagaan terbesar buat penggiat muzik, kami tidak mahu melepaskan peluang ini untuk menonjolkan bakat selain mempromosikan muzik Malaysia ke mata dunia,” jelasnya.

Dalam pada itu, John turut berpendapat, delegasi pada tahun ini bersifat dinamik dan mampu mewujudkan identiti yang lebih segar untuk mewakili Malaysia.

“Penggiat muzik di Malaysia begitu kreatif dalam menghasilkan karya. Sejak kebelakangan ini, banyak karya berkualiti yang dihasilkan.

“Jadi, kepelbagaian yang ada pada delegasi pada tahun ini mungkin dapat membuka lebih banyak peluang kepada wakil Malaysia yang lain di sana,” ujarnya lagi.

Selain Paperplane Pursuit yang mewakili Breaking Records, kumpulan rock alternatif popular, Bunkface turut terpilih menyertai untuk MIDEM pada tahun ini di bawah syarikat Bunkface Productions.

Dalam pada itu, Faithful Music, Indigital dan Live Scape merupakan antara syarikat muzik yang turut dipilih untuk mewakili Malaysia.

Ditanya apakah perancangan band yang popular dengan lagu Beat Of Your Love itu selepas sekembalinya dari Cannes, John berkata: “Kami akan terus berkarya dan bermain muzik. Apa sahaja yang kami pelajari di MIDEM akan digunakan sebaik mungkin agar lagu-lagu yang dihasilkan kelak lebih baik dan berkualiti.”

Post a Comment

Previous Post Next Post