Dari Seorang Pelakon, Ruminah Sidek Kini Penoreh Getah


Ruminah bersama suaminya Al Fatah Rahim Ismail ketika diijab kabul pada 17 Mei 2014.

Pelakon veteran Ruminah Sidek melalui pengalaman berharga dalam hidupnya selain menjadi seorang pelakon iaitu bergelar penoreh getah sejak dua tahun lalu.

Ruminah atau lebih dikenali sebagai Mak Mah, 70, berkata, pengalaman itu dilaluinya selepas menjadi isteri kepada peneroka Felda Jelai, Negeri Sembilan, Al Fatah Rahim Ismail, 72.

Ruminah berkata, dia mengambil masa beberapa minggu untuk belajar menoreh daripada suaminya sehingga benar-benar berjaya.

"Mula-mula memang tidak tahu bagaimana cara nak menoreh getah, jadi saya belajar dengan suami sehingga saya menangis kenapa saya tidak pandai-pandai.

"Saya berdoa Allah permudahkankan saya untuk pandai melakukannya kerana saya benar-benar mahu menemani suami setiap pagi ke kebun getah. Sekarang suami pula kagum dengan kebolehan saya.

"Menoreh merupakan rutin kami setiap pagi, saya dan suami akan keluar seawal 6.30 pagi dan pulang kira-kira pukul 9 pagi," ujarnya ketika dihubungi Buletin Malaysia.

Ruminah diminta berkongsi kisah hidupnya selepas menjadi isteri kepada peneroka Felda.

Pasangan ini bernikah dalam sebuah majlis sederhana di Klang, Selangor pada 17 Mei 2014.

Ruminah mengakui dia sedang melalui kehidupan baharu yang sangat bahagia sejak mereka berkahwin.

Dia juga banyak manghabiskan masanya menjalani kerja-kerja yang tidak pernah dilakukan dalam hidupnya sebelum ini.

"Selain menoreh banyak juga perkara baru saya belajar seperti memancing, suami suka memancing di laut jadi dia bawa sekali. Ada suatu hari kami memancing sehingga di sempadan Johor bersama rakan-rakannya," ujar Ruminah.


Kemesraan Ruminah Sidek dan suaminya pada hari perkahwinan mereka.

Sementara itu lebih menarik tambah Ruminah, dia turut berasa dihargai apabila sering diundang menjadi tetamu dan memberi ucapan dalam majlis anjuran sekolah-sekolah berhampiran tempat tinggalnya itu.

Dia tidak menyangka kehadirannya mendapat perhatian dan diterima dengan hati terbuka oleh masyarakat Felda berkenaan.

"Sejak berkahwin saya dan suami banyak mendapat jemputan untuk hadir majlis-majlis penting di kawasan Felda itu termasuk sekolah-sekolah.

"Mereka suruh saya beri ucapan, malah mereka juga adakan majlis menayangkan filem-filem lama saya untuk tontonan tetamu dan pelajar-pelajar sekolah itu," ujarnya.

Katanya, sejak berkahwin dia tidak pernah berasa susah hati terutamanya dalam hal menguruskan kehidupan.

"Hati saya senang sahaja, tidak fikir masalah dan tidak fikir duit cukup atau tidak kerana semua suami yang uruskan.

"Sampai baju atau keperluan harian lain dia yang uruskan, setiap kali saya mahu keluarkan duit, dia tidak benarkan," ujarnya.

Tambah Ruminah, perkara-perkara berkenaan juga membuatkan berat badannya kini meningkat sehingga 70 kilogram.

"Orang kampung kata saya sudah berisi sekarang, bila timbang memang sudah 70 kilogram daripada sebelum ini hanya 64 kilogram.

"Saya ingat sudah tidak boleh gemuk, rupa-rupanya bila hati senang dan gembira badan kita boleh naik juga," ujarnya.

Ruminah berkata, dia bersyukur kehidupannya kini dianggap sebagai hadiah Allah dalam menghabiskan sisa hidupnya.

Dia juga tidak pernah membayangkan dapat menjalani kehidupan sebegini indah pada akhir-akhir usianya.

Sementara itu, bercakap soal kerjaya lakonan, Ruminah berkata, dia masih menerima tawaran bagi menyokong industri lakonan tanah air.

Katanya, lakonan sudah menjadi darah dagingnya yang tidak akan ditinggalkan begitu sahaja.

"Saya masih sihat dan boleh berlakon, suami juga benarkan saya berlakon dan dia selalu hantar ke Kuala Lumpur jika ada penggambaran.

"Kadang-kadang nak tolak tapi rasa tidak elok pula sebab mereka beritahu tiada ramai pelakon yang boleh bawa watak nenek. Tapi dalam sebulan selalunya hanya beberapa hari sahaja saya ada penggambaran," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post