
SEBUT sahaja nama Daniel Radcliffe, pasti peminat tidak mampu melupakan peranannya sebagai hero sihir JK Rowling menerusi lapan filem Harry Potter yang mana kesemuanya mencatat kutipan pecah panggung.
Ternyata pengaruh watak itu benar-benar mengubah perjalanan hidupnya sekaligus menjadikan permulaan yang baik buat karier lakonannya yang bermula ketika berusia 11 tahun lagi.
Sejak dari itu, pelakon yang mesra disapa Dan ini sering menjadi tumpuan peminat filem di seluruh dunia.
Populariti itu telah memberi pulangan besar buat aktor ini apabila dia turut dinobatkan sebagai remaja terkaya di Hollywood menerusi kejayaan siri sekuel itu.
Dengan gelaran itu, Radcliffe berjaya mengetepikan nama-nama besar lain seperti Emma Watson, Kiera Knightley dan Robert Pattinson.
“Kejayaan menghidupkan watak Harry Portter adalah usaha saya sendiri dalam memperkenalkan siapa Harry Porter.
“Sebelum terlibat dalam lakonan filem ini, saya memang sudah membaca buku-bukunya sejak berusia lapan tahun lagi, namun ketika itu saya belum memahaminya.
“Namun semuanya berubah setelah saya sendiri diberi peluang untuk melakonkan watak tersebut,” ujarnya.
Dalam perkembangan terkini, aktor berusia 27 tahun ini lebih matang menjalani kehidupan dan kariernya.
Walaupun hidup dalam populariti dan pelbagai kejayaan, Radcliffe sangat jarang dikaitkan dengan kontroversi dan menjalani kehidupan berbeza daripada selebriti lain yang seusia dengannya.
“Lakonan pertama saya menerusi Harry Porter membuktikan kemampuan saya sebagai pelakon.
“Sepanjang menjalani karier ini, banyak pengalaman dan perkara baharu yang harus saya belajar setiap hari.
“Memang saya pelakon remaja yang berjaya, tetapi pada masa sama, saya juga mahu membesar sebagai lelaki yang lebih bertanggungjawab dan matang,” katanya.
Tidak memilih
Enggan mengehadkan lakonannya hanya menerusi sesebuah karakter sahaja, anak kelahiran Fulham, London ini tidak memilih watak asalkan ia sesuai dan mencabar dirinya.
“Ramai yang anggap saya lebih gemar memilih karya pelik tetapi sebenarnya tidak.
“Semua lakonan saya adalah sesuatu yang memang saya ingin buat.
“Saya tidak kisah kalau ada yang anggap saya aneh asalkan lakonan itu memberi impak yang besar,” katanya.
Lakonan terbaharu, Radcliffe akan muncul dengan sebuah lagi filem sihir, Now You See Me 2.
“Filem ini tidak ada persamaan dengan Harry Porter kerana ia jalan ceritanya yang berbeza. Begitu juga dengan watak saya iaitu Walter Mabry,” katanya.
Selain Radcliff, pelakon lain yang turut terlibat dalam filem tersebut adalah Jesse Eisenberg, Mark Ruffalo, Woody Harrelson, Dave Franco, Lizzy Caplan, Jay Chou dan ramai lagi.