Dunia muzik sarat melodi, lirik yang menyentuh kalbu, kejujuran jiwa penyanyi, kemanisan sebuah lagu atau apa sahaja yang mampu menjadikan ia bingkisan yang dekat di hati pendengar.
Di sebalik semua pengisian yang dialirkan menjadi nyanyian beremosi itu, berdirinya seorang komposer yang menjadi peneraju kepada melodi dan tukang cerita kepada senaskhah lagu.
Nama-nama seperti Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan, Datuk M.Nasir, Aubrey Suwito, Ajai, Azmeer dan Pak Ngah kini sudah tidak asing kepada peminat-peminat muzik tanah air.
Atas peredaran zaman dan permintaan penghasilan sesebuah lagu itu semakin meningkat, jumlah individu penting yang menggerakkan jentera muzik itu juga semakin bertambah.
Mendekati dua komposer muda iaitu Aizat Amdan dan Adi 6ixth Sense, mereka bercakap tentang muzik serta misi yang disalurkan demi kelangsungan sebuah karya agar tidak sekadar pengisi ruang radio mahupun laman sosial.
Sensasi Bintang: Bagaimanakah muzik merubah hidup kalian?
AIZAT: Muzik dalam hidup saya sangat kuat sebab ia mampu menyatukan keluarga yang terpisah akibat perceraian. Semuanya kembali pulih selepas saya masuk program realiti nyanyian, Akademi Fantasia musim kelima pada 2007.
ADI: Disebabkan muzik, saya kini tinggal di Malaysia. Kalau tidak barangkali saya masih di Indonesia dan bekerja kerani di sana. Sehingga kini sudah hampir 11 tahun saya bermain muzik di Malaysia.
Pada pendapat kalian, apakah ciri-ciri sebuah lagu yang baik?
AIZAT: Pada saya lagu yang jujur merupakan ciri-ciri sebuah lagu yang baik. Maksud saya, orang yang berseni ini emosi mereka sangat banyak dan mudah terkesan. Jadi, kalau emosi itu dapat dikeluarkan secara jujur itu adalah yang lebih baik.
ADI: Pada saya, lagu yang baik apabila ia mudah untuk pendengar terima dan nyanyikan semula. Kebanyakan orang suka pada lagu yang sekali dengar sudah menangkap di jiwa berbanding lagu yang memiliki melodi dan lirik yang rumit.
Aizat percaya setiap lagu yang dihasilkan akan diterima peminat bergantung pada masa dan keadaan.
Bagaimanakah kalian melihat sektor pembikinan sebuah lagu pada hari ini dan sebagai komposer kelainan bagaimana lagi yang kalian ingin tampilkan?
AIZAT: Saya rasa muzik sama sahaja daripada dahulu hingga sekarang. Mungkin sekarang lebih banyak kebebasan dalam menghasilkan lagu. Tambahan pula dengan adanya pelbagai laman sosial seperti Instagram, YouTube, Twitter dan Snapchat. Saya tidak mahu bagi kelainan pada lagu-lagu ciptaan saya. Apa yang penting, peminat dapat merasai dan mengambil perkara-perkara positif yang terdapat pada lagu ciptaan saya.
ADI: Kalau lagu untuk 6ixth Sense saya akan hasilkan mengikut pasaran. Namun pada masa sama, saya juga tidak mahu rentak lagu yang sama dibuat untuk 6ixth Sense. Saya pernah buah lagu Tujuh Kali Malam Minggu yang dimasukkan dengan muzik dangdut di dalamnya. Ia sesuatu yang lain pernah 6ixth Sense tampilkan sebelum ini. Sebenarnya, banyak lagi genre muzik yang akan saya tampilkan di masa-masa akan datang. Sebagai contoh, keroncong tetapi yang selari dengan identiti kumpulan kami.
Pernah ada pengalaman naskhah lagu di renyuk dan dibuang di tong sampah?
AIZAT: Pernah. Banyak (ketawa). Tetapi kadang-kadang lagu tersebut akan jadi relevan secara tiba-tiba. Pada mulanya, saya anggap ia tak relevan contoh lagu Kita. Itu komposisi pertama saya masa umur 16 tahun. Saya buat lagu itu ketika tengah minat lagu-lagu Kerispatih dan jatuh cinta dengan seorang perempuan. Pada saya, lagu itu tak sedap dan jiwang semata-mata. Tetapi selepas diperdengarkan kepada beberapa orang mereka kata lagu itu sedap dan menjadi hit.
ADI: Alhamdulillah tak ada lagi. Kebanyakannya, saya akan beri dua atau tiga buah lagu. Mereka akan pilih satu. Dua lagu yang ditolak beberapa tahun mendatang ada orang lain pula yang ambil.
Lagu-lagu sekarang ada segelintir orang beranggapan tiada jiwa berbanding lagu-lagu dahulu. Pandangan kalian bagaimana?
AIZAT: Saya rasa ia bergantung pada peredaran masa. Mungkin lagu-lagu sekarang orang kata tak ada jiwa tetapi untuk tempoh masa lama ia jadi malar segar. Ada juga komposer yang buat lagu semata-mata untuk ia hit sekarang dan ia tiada salahnya. Sebab, muzik ini juga sudah dianggap sebagai satu perniagaan.
ADI: Betul juga sebenarnya. Sebab penyanyi sekarang hanya menyanyi tetapi tidak menjiwai lagu tersebut. Disebabkan itu, lagu-lagu sekarang susah untuk jadi malar segar berbanding lagu-lagu dahulu.
Lagu yang baik bagi Adi adalah naskhah yang mudah diterima dan dinyanyikan peminat.
Kalian lebih selesa beri lagu pada orang lain atau tulis, nyanyi dan terbit sendiri?
AIZAT: Saya suka buat lagu dan terbit lagu sendiri. Kalau boleh semua sendiri. Sebab saya nak bagi 100 peratus yang terbaik pada pendengar.
ADI: Kedua-duanya ada kenikmatan. Kalau menyanyi lagu yang dihasilkan sendiri, mungkin senang untuk kita tahu apa kehendak kita. Kalau bagi lagu pada orang, saya kena pastikan macam mana lagu tersebut boleh dinyanyi oleh penyanyi tersebut.
Untuk kerja terkini, ada sebarang sasaran?
AIZAT: Tahun ini, saya ada buat projek yang dikenali sebagai Gegar 2016. Projek yang mana saya buat sebuah lagu untuk satu bulan. Selepas 12 lagu dikeluarkan, saya akan buat konsert pertama dan hasilkan ia dalam bentuk album.
ADI: Saya ada menubuhkan syarikat muzik sendiri iaitu Putih Entertainment bersama dengan pemain dram dan bass 6ixth Sense. Kami masih mencari artis-artis. Setakat ini, bawah syarikat kami ada penyanyi Han dan Fareez Mentor.