SEJAK beberapa tahun ini, wajahnya seakan jarang dilihat bukan hanya menerusi karier lakonan, malah nyanyian juga.
Sehinggalah tahun lalu, anak kepada penyanyi era 90-an, Rohana Jalil ini tampil dengan projek khas dalam menyanyikan runut bunyi filem popular antarabangsa, Dilwale versi Melayu ‘Warna Cinta’ hasil duet bersama penyanyi Alif Aziz.
Hasil duet itu telah memberi impak yang baik buat Kilafairy apabila runut bunyi itu berjaya meletakkan diri di kedudukan carta lagu iTunes di tangga ke-5 keseluruhan manakala jumlah tontonan video di YouTube mencecah lebih tiga juta penonton sehingga kini.
Enggan berhenti di situ, penyanyi berusia 24 tahun ini sekali lagi muncul dengan single terbarunya, Setia.
Lebih istimewa, single itu ciptaan sepenuhnya oleh Irfan Aulia yang merupakan salah seorang anggota kumpulan popular dari Indonesia, Samsons.
Menurut penyanyi yang mesra disapa Kila ini, projek terbaru itu dilihat sebagai strategi yang digunakan untuk melonjakkan semula namanya dalam industri setelah sekian lama tidak muncul dengan sebarang produk.
“Saya percaya dengan sentuhannya dalam menghasilkan lagu ini. Pertama kali mendengarkannya, saya sudah tertarik untuk memilih lagu ini sebagai single terbaru saya.
“Muzik yang ditampilkan menepati trend masa kini dan apa yang saya suka ia juga mengandungi lirik yang sangat sederhana.
“Apatah lagu, lagu ini juga berbeza dengan single yang terdahulu dari segi susunan muzik dan vokal saya sendiri ,” jelasnya.
Tidak hanya mengehadkan bakat dalam lakonan semata-mata, Kila memulakan karier nyanyiannya setelah single pertama dilancarkan pada 2012 dan perjalanan itu diteruskan dengan penghasilan single kedua, Roman pada 2013 yang juga merupakan lagu runut bunyi filem Tihany.
Lagu buat peminat
Bercerita lebih lanjut, Kila turut meluahkan rasa gembira kerana pihak Sony Music telah memberi peluang kepadanya untuk bekerjasama dengan komposer yang berbakat seperti Irfan.
“Sebagai orang baharu dalam bidang nyanyian, saya sangat teruja dan gembira kerana dapat berkolaborasi bersama Irfan.
“Sebelum ini saya hanya mengenali dan meminati mereka menerusi lagu-lagu yang dihasilkan dan siapa sangka saya juga berpeluang bekerjasama dengannya.
“Lagu ini benar-benar menepati cita rasa saya dan saya yakin pendengar juga akan merasai perkara yang sama,” katanya.
Sementara itu, Kila turut memberitahu pengeluaran single terbaru ini didedikasikan buat peminat yang sudah lama menantikan kemunculannya dalam nyanyian.
“Kali terakhir saya muncul dengan single adalah pada 2013 dan saya sangat terharu sehingga hari ini peminat masih menunggu kemunculan lagu baharu daripada saya.
“Sebagai tanda terima kasih, lagu ini saya tujukan dan hadiahkan kepada penyokong setia saya.
“Saya mahu terus kekal dalam arena muzik tempatan dan kolaborasi rakaman bersama syarikat Sony Music Malaysia yang banyak membantu dalam mencapai impian saya,” jelasnya.
Setia boleh dimuat turun di iTunes dan didengar menerusi portal muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, JOOX Music, KKBox, Raku dan Yonder Music.