Janna bersama ibunya, Shasha yang amat menyokong dan memahami kerjayanya sebagai seorang anak seni.
Tidak dinafikan, nama Janna Nick adalah antara bintang muda yang paling menyerlah dalam persada seni tanah air hari ini. Pun begitu, kesibukan jadual seni pelakon drama Kau, Aku, Kita itu kadangkala tidak terkawal sehinggakan dia terpaksa berenggang dengan ibu tersayang.
Disebabkan kepadatan jadual seninya, dia sering kali memungkiri janji untuk menghabiskan masa dengan ibunya dan perkara tersebut membuatkan dia sedih. Dia ingin menebus kesilapan yang tidak dielakkan itu terutama bulan Ramadan yang bakal menjelang tidak lama lagi.
Sementara itu, biarpun namanya dihakis banyak kontroversi kebelakangan ini, Janna atau nama lengkapnya, Nurul Jannah Muner, 21, menyatakan bahawa dia tidak berniat untuk mencetuskan kontroversi. Sebaliknya, ia berlaku di luar kawalannya.
Kosmo!: Nama Janna kini sangat dijulang baik sebagai seorang pelakon mahupun seorang penyanyi. Berdepan dengan kesibukan jadual dan kehidupan glamor sebagai seorang artis dalam tempoh yang agak singkat, bagaimana anda menghadapi hal ini?
Janna Nick: Banyak perkara yang terpaksa saya korbankan sejak hari pertama melangkah ke dalam bidang ini. Apa yang paling saya kesalkan adalah masa dengan ibu, Shasha amat terhad kerana terlalu terikat dengan komitmen kerja sehingga banyak kali terpaksa membatalkan waktu makan dengannya. Benar, banyak perkara telah berubah sejak saya menjadi seorang artis tetapi secara peribadi, saya tidak pernah meletakkan diri sebagai seorang artis. Di luar, saya hanya gadis kasar yang suka melepak bersama keluarga dan rakan-rakan.
Kurang masa bersama ibu, adakah dia pernah mengeluh mengenai hal tersebut?
Pernah tetapi ibu cukup faham dengan jadual kerja saya. Ibu hanya menasihati saya agar bekerja dengan jujur dan berhati-hati. Dia seorang yang sangat sensitif. Banyak kali dia mengadu rindukan saya. Masakan tidak, saya kerja hingga lewat malam. Jadi, menjelang bulan puasa saya berharap dapat menghabiskan banyak masa dengannya.
Apabila banyak kontroversi melibatkan nama anda sejak akhir-akhir ini, adakah ibu pernah bercakap dengan anda mengenai hal itu?
Tidak, dia tidak pernah masuk campur tentang hal kerja saya kerana menaruh penuh kepercayaan kepada saya. Cuma dia selalu berkata kepada saya bahawa apa pun cerita yang didengar mengenai saya, dia lebih mengenali anaknya sendiri.
Boleh ceritakan sedikit mengenai aktiviti bulan puasa?
Saya akan perlahankan aktiviti seni sempena menghormati bulan Ramadan. Bagaimanapun, saya akan banyak menghabiskan masa sebagai duta kempen Syukur Selalu untuk tahun ini, selain mengisi masa dengan menghadiri program berbuka puasa dan sebagainya.
Bagaimana pula dengan drama yang akan ditayangkan sempena Ramadan dan Syawal nanti?
Saya akan muncul dalam satu drama komedi berjudul Mek Kelate yang akan ditayangkan di TV3. Selain itu, saya sekarang sedang sibuk menjalani penggambaran drama Kau, Aku, Kita Raya yang akan ditayangkan sempena bulan Syawal nanti.
Memegang watak komedi dalam drama tersebut sebagai gadis Kelantan, Adakah ia menjadi satu kesukaran buat anda?
Sebenarnya, saya bukan anak kelahiran Kelantan dan bukan senang untuk bermain dengan dialek negeri itu. Justeru, saya terpaksa mengubah dialek Kelantan bercampur dengan Siam supaya tidak nampak terlalu ‘cacat’ apabila ia dilontarkan.